Dr Muhamad Akmal Saleh

KUALA LUMPUR – Ketua Pergerakan Pemuda UMNO mengingatkan bekas Naib Presiden MCA, Datuk Seri Ti Lian Ker yang Kongres Ekonomi Bumiputera yang mula dilaksanakan sejak zaman Kerajaan Barisan Nasional (BN) tidak pernah menyentuh atau menekan hak kaum lain.

Sebaliknya, Dr Muhamad Akmal Saleh menegaskan, kongres ekonomi tersebut dilaksanakan bertujuan memberi penambahbaikan kepada ekonomi bumiputera termasuk di Sabah, Sarawak serta Orang Asli yang menjadi kaum majoriti di negara ini.

“Jadi, amaran saya pada YB Senator (Datuk Seri Ti Lian Ker) jangan sesekali bermain dengan isu perkauman demi kepentingan politik kamu.

“Pemuda UMNO tidak akan sama sekali berganjak dengan pendirian untuk mempertahankan kepentingan agama, bangsa dan negara,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.

Terdahulu, Lian Ker ketika membahaskan Belanjawan 2024 di Dewan Negara baru-baru ini dilaporkan menggesa kerajaan untuk menghentikan Kongres Ekonomi Bumiputera yang dijadualkan bulan depan.

Bekas Timbalan Menteri Belia dan Sukan itu dilaporkan berkata, Malaysia tidak akan maju selagi kongres seumpama itu menumpukan kepada golongan elit Melayu yang menyalahgunakan kuasa, pengaruh dan status untuk memperkayakan diri mereka dengan perbelanjaan negara.

Dr Muhamad Akmal yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merlimau berkata, penambahbaikan ekonomi bumiputera di negara ini tidak pernah mengambil hak kaum lain malah memberikan kebaikan kepada situasi negara ini secara keseluruhan.

“Malah kedudukan ekonomi bukan Bumiputera masih lagi mengukuh di negara ini sejak dari dulu lagi,” ujarnya. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast