Pengunjung mula hadir pada Program Setahun Bersama Kerajaan MADANI di Pekarangan Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur. Foto MUHD NA’IM, 08 DISEMBER 2023.

KUALA LUMPUR – Jika tiada perancangan pada cuti hujung minggu ini. Jom pergi beramai-ramai ke Program Setahun Bersama Kerajaan MADANI di pekarangan Stadium Nasional Bukit Jalil dan memanfaatkan pelbagai perkhidmatan serta aktiviti menarik yang disediakan sejak semalam sehingga esok.

Antara yang menarik pada hari kedua program hari ini ialah tayangan filem tempatan, “MALBATT: Misi Bakara” yang diadaptasi daripada kisah benar mengenai keberanian tentera Malaysia yang berkhidmat di bawah panji-panji Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) membantu menyelamatkan tentera Amerika Syarikat yang terperangkap di dalam serangan militia Somalia di Pasar Bakara, Mogadishu pada 1993, di pentas utama pada 9 pagi.

Bagi peminat sukan tanah air, jangan lepaskan peluang bertemu wira dan wirawati menerusi program Kopi, Sukan & Aspirasi Bersama Atlet Negara yang menampilkan antaranya R. Sharmendran (karate), Tan Cheong Min (wushu), Natasha Roslan (tenpin boling), Muhammad Ziyad Zolkefli (para olahraga) serta bekas penerjun Cheong Jun Hoong di pentas utama pada 11.40 pagi.

Pernah dengar proses bantuan pernafasan (CPR) berirama? Jika belum, berkunjunglah ke Program Setahun Bersama Kerajaan MADANI dan berpeluang melihat serta mempelajarinya yang dibawakan khas oleh Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) di pentas kedua pada 11 pagi ini.

Terdahulu, pada 7.30 pagi tadi telah berlangsung Larian Ria MADANI dengan tema pakaian tradisional melibatkan kira-kira 5,000 peserta yang berlari sejauh empat kilometer mengelilingi Stadium Nasional Bukit Jalil.

Pada 8 malam nanti akan berlangsung Forum Perdana Ehwal Islam: Keharmonian Dalam Kepelbagaian di pentas utama dengan panel terdiri daripada Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar, Pengerusi Duat Al-Falah Abdul Hadi Bakri dan Pensyarah Universiti Putra Malaysia Prof Datuk Dr Taufiq Yap Yun Hin.

Pengunjung juga masih boleh membeli barangan keperluan harian melalui Jualan Mega MADANI dengan inisiatif diskaun harga barangan sehingga 30 peratus lebih murah daripada harga pasaran.

Istimewa bagi pencari kerja, jangan lepaskan peluang hadir ke Karnival Kerjaya yang menawarkan lebih 5,000 peluang pekerjaan melibatkan 63 agensi kerajaan dan swasta.

Selain itu, pengunjung yang mempunyai saman trafik Polis Diraja Malaysia (PDRM), jangan lepaskan peluang untuk menikmati diskaun sehingga 50 peratus yang ditawarkan di tapak program.

Esok, akan berlangsung majlis perasmian penutupan Program Setahun Bersama Kerajaan MADANI yang akan disempurnakan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan turut dihadiri kepimpinan tertinggi kerajaan.- BERNAMA