Para peserta yang menyertai Fun Run Walk & Wheel.

KUALA LUMPUR – Seramai 295 peserta terdiri daripada orang awam dan orang kurang upaya (OKU) menyertai program Fun Run Walk & Wheel sempena Hari OKU Sedunia 2023 di Dataran Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

Larian yang membabitkan OKU pendengaran, penglihatan, fizikal dan masalah pembelajaran ini merupakan anjuran Pusat Kajian Rehabilitasi dan Keperluan Khas (iCaRehab), Fakulti Sains Kesihatan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Pengarah Sambutan Hari OKU Sedunia 2023, Dr. Zainora Mohammed berkata, acara larian ini merupakan platform yang efektif bagi peserta dan orang kurang upaya untuk berjalan, berlari dan beroda beriringan pada laluan yang sama.

“Acara ni diharapkan dapat membuka ruang kepada masyarakat umum untuk mengenali tentang kepelbagaian individu dalam kalangan OKU lantas meningkat kesedaran mereka akan golongan ini.

“Program ini juga memberi peluang kepada komuniti OKU dan masyarakat awam untuk berinteraksi dan menjalin ukhwah selain meraikan keterangkuman dan kesaksamaan,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Jaringan Industri dan Masyarakat UKM, Prof. Datuk Ts. Dr. Norazah Mohd Nordin berkata Hari OKU adalah satu titik fokus untuk memahami kehidupan, cabaran, dan pencapaian luar biasa yang dimiliki oleh individu OKU.

Tambahnya, UKM komited dalam memperkasakan dan memperkukuhkan hak golongan OKU supaya dapat mencapai tahap perkhidmatan dan persekitaran yang cemerlang.

“Antara inisiatif universiti adalah penubuhan Unit Perkhidmatan dan Sokongan OKU pada tahun 2019 bagi menyokong penuh golongan ini.

“UKM juga terbuka dalam menerima seramai 117 OKU yang terdiri daripada 50 kakitangan dan 67 orang pelajar,” katanya.

Bertemakan ‘Meraikan Kepelbagaian dan Keterangkuman Ke Arah Kesejahteraan Orang Kurang Upaya’, program ini disempurnakan oleh Ahli Dewan Negara (Wakil OKU), Senator Isaiah D. Jacob.

Program ini mendapat kerjasama dari Unit Perkhidmatan dan Sokongan OKU UKM, Jabatan Penerangan Malaysia (JPEN), Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) dan DBKL. – MalaysiaGazette