Supt Shamsudin Mamat.

ALOR SETAR – Dua individu maut dalam nahas jalan raya membabitkan dua kenderaan di Kampung Ketemba, Jalan Baru Kulim-Baling-Gerik dekat Baling petang tadi.

Mangsa yang maut ialah pemandu kereta Proton Persona iaitu Mohammad Syawal Mohd Sukri, 29, dan penumpang kereta Perodua Kancil, Rokiah Kassim, 59.

Ketua Polis Daerah Baling, Superintenden Shamsudin Mamat berkata, pihaknya menerima maklumat daripada orang awam berkaitan nahas itu, yang membabitkan tujuh mangsa, pada 5.20 petang.

“Siasatan awal mendapati kenderaan dipandu Mohammad Syawal yang dinaiki empat mangsa lain sedang dalam perjalanan dari Jeli menuju ke Sidam, Sungai Petani manakala kenderaan yang dinaiki Rokiah bersama seorang lagi mangsa dari arah Kulim menghala ke Baling.

“Sampai di lokasi kejadian, kereta Perodua Kancil dipandu lelaki berusia 28 tahun yang datang dari arah bertentangan telah hilang kawalan sebelum masuk ke laluan bertentangan dan melanggar bahagian hadapan sebelah kanan kereta Proton Persona,” menurutnya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata, Rokiah maut di tempat kejadian dan Mohammad Syawal disahkan meninggal dunia semasa dalam perjalanan ke Hospital Baling manakala tiga mangsa lain mengalami kecederaan termasuk seorang patah kaki kiri.

“Mayat kedua-dua mangsa yang meninggal dunia telah dihantar ke Unit Forensik Hospital Baling untuk proses bedah siasat manakala mangsa lain turut dihantar ke hospital sama untuk menerima rawatan lanjut,” katanya. – Bernama