Sidang media di IPD Brickfields pagi ini oleh Ketua Polis KL, Datuk Alaudeen Abdul Majid.

KUALA LUMPUR – Sebuah hotel terkenal di Jalan Conlay cemas selepas menerima panggilan ancaman bom sekitar jam 8 malam tadi.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Allaudeen Abdul Majid berkata, sebuah unit pemusnah bom dan unit Anjing Pengesan (K9) Bukit Aman telah digerakkan ke lokasi sejurus menerima maklumat tersebut.

“Tindakan  ‘flushing’ (pPembersihan keselamatan) bom telah dijalankan secara rapi di lobi, di dewan, juga di tiga kawasan tempat letak kereta, seluruh 13  tingkat hotel dan di kawasan luar hotel.

“Namun, tiada sebarang ancaman yang dikesan dalam kes ini,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Daerah Brickfields hari ini.

Katanya, panggilan itu dibuat oleh seorang lelaki yang bercakap dalam bahasa Inggeris pada jam 8.07 malam kepada pengawal keselamatan hotel berkenaan.

Kes ini disiasat di bawah Seksyen 507 Kanun Keseksaan dan jika disabitkan kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara selama tempoh yang boleh sampai dua tahun.

“Kita nasihatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi, andaian atau pendapat yang boleh menimbulkan kekeliruan, keguaran dan ketenteraman awam.

“Orang ramai supaya tidak terlibat dengan apa-apa kesalahan yang tidak mematuhi peruntukan undang-undang,” tegasnya.

Orang awam yang mempunyai sebarang maklumat mengenai kes ini boleh menyalurkan terus ke Bilik Gerakan Polis Kuala Lumpur di talian 03-2146 0584 / 0585 atau mana-mana Balai Polis yang berdekatan. -MalaysiaGazette