KUALA LUMPUR – Stadium Nasional Bukit Jalil (SBNJ) akan kembali menganjurkan konsert artis antarabangsa yang melibatkan Ed Sheeran pada 24 Februari tahun depan.
Apa yang menarik, sebulan kemudian stadium sama dijangka menjadi venue untuk aksi Kelayakan Piala Dunia 2026/ Piala Asia 2027 antara Malaysia menentang Oman, 26 Mac nanti.
Justeru kini timbul persoalan sama ada ‘mimpi ngeri’ yang menimpa padang pada final Piala Malaysia 2023 akan kembali berulang.
Sebagai langkah, awal adalah lebih baik Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) mengambil langkah alternatif dengan menganjurkan aksi kelayakan itu di venue lain seperti di Stadium Sultan Ibrahim (SSI) ataupun Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZA).
Atau pun Perbadanan Stadium Malaysia (PSM) sudah belajar daripada kesilapan dan memiliki formula baharu di padang SNBJ benar-benar berada pada tahap terbaik dalam tempoh kira-kira sebulan antara dua acara terbabit.
Minggu lalu, PSM dihentam susulan kegagalan menyediakan padang yang terbaik untuk aksi final Piala Malaysia antara Johor Darul Ta’zim (JDT) dan Terengganu FC (TFC) selepas menganjurkan konsert Coldplay, 22 November lalu.
Selepas penganjuran konsert itu, padang SNBJ diberi pelbagai gelaran antara ‘jean lusuh’ dan ‘kuih seri muka’ apabila padang tidak berada dalam keadaan terbaik sehingga ditegur pemilik JDT, Tunku Ismail Sultan Ibrahim.
Situasi itu memaksa PSM memohon maaf atas kerosakan padang SNBJ dan mengakui tidak mempunyai masa yang mencukupi untuk membaiki dan mengembalikan padang ke tahap optimum selepas konsert terbabit. – MalaysiaGazette