KUANTAN – Polis mengesan tiga individu yang merompak rumah seorang peniaga kedai elektrik di kawasan Tok Sira, di sini pada Jumaat lalu.
Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Wan Mohd Zahari Wan Busu berkata, kejadian dilaporkan berlaku pada pukul 5 petang.
“Suspek dipercayai tiga lelaki yang dalam keadaan bertutup muka masuk ke rumah dengan mengumpil sliding door hadapan selepas masuk ke rumah menerusi pintu pagar yang tidak bertutup,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambahnya, suspek kemudian melarikan wang tunai, barangan kemas, jam tangan dan beg berjenama selain dua buah peti besi daripada rumah terbabit.
Menurut Wan Mohd Zahari, akibat kejadian tersebut, mangsa telah kerugian kira-kira RM140,000.
Beliau turut memberitahu, menerusi video rakaman kamera litar tertutup (CCTV), suspek dilihat menaiki sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) berwarna biru yang diparkir di hadapan rumah tersebut. – MalaysiaGazette