Orang ramai tidak melepaskan peluang untuk mendapatkan diskaun pembayaran saman sebanyak 50 peratus sempena program Setahun Kerajaan Madani di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 09 DISEMBER 2023.

KUALA LUMPUR – Progam Setahun Bersama Kerajaan Madani di Stadium Nasional Bukit Jalil yang berakhir hari ini mendapat sambutan luar biasa walaupun dalam hujan lebat dan kesesakan trafik.

Tinjauan MalaysiaGazette sekitar jam 2 petang tadi sehingga berakhirnya program tersebut mendapati orang ramai tidak putus-putus membanjiri Stadium Bukit Jalil walaupun sukar mendapat parkir kenderaan.

Malah, pengunjung terpaksa beratur panjang menunggu giliran untuk masuk.

Rata-rata yang ditemui melahirkan perasaan teruja, gembira dan ingin tahu bentuk pengisian program yang memaparkan kejayaan Kerajaan Madani selama setahun ini.

Tidak kurang juga, ada yang mahu mengambil peluang promosi diskaun saman yang ditawakan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM), kaunter pendaftaran Sumbangan Tunai Rahmah (STR) serta lain-lain.

Antara tetamu yang hadir pada Majlis Perasmian Penutupan Setahun Kerajaan Madani di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 10 DISEMBER 2023.

Tidak kurang juga ada pengunjung yang mengambil kesempatan menggunakan bantuan kredit eMadani sebanyak RM100 yang diterima baru-baru ini untuk membeli pelbagai barangan makanan dan dapur.

Seorang pengunjung, Adnan Abdul Satar dari Selangor berkata, dia sangat teruja untuk datang dan melihat sendiri apakah antara inisiatif serta dasar yang mampu memberinya manfat kepada diri serta keluarga.

Katanya,pelbagai usaha yang dilakukan oleh kerajaan hari ini tidak boleh diperkecilkan tetapi boleh diperbaiki pada masa-masa akan datang.

Adnan Abdul Satar

“Walaupun terpaksa bersesak-sedak namun apabila saya sampai, saya nampak sendiri macam-macam yang ada. Banyak juga yang kita perlu tahu dan fahami. Ini masih lagi kerajaan baharu jadi kita harus adil dan beri peluang. Pada saya, banyak yang menarik khasnya golongan muda.

“Yang paling saya suka ialah pameran aset kerajaan termasuk milik Angkatan Tentera Malaysia seperti aset strategik dan kenderaan ringan, memang sangat ‘best’,” katanya.

Bagi keluarga Nuraini Rosli dari Putrajaya pula, kehadiran bersama anak-anak dan suami bukan sahaja menggunakan peluang cuti pada hujung minggu, sebaliknya memanfaatkan beberapa inisiatif seperti kaunter bayar saman.

“Tidak perlu beratur panjang sangat kerana ada baucer bayar saman serta aplikasinya. Sekejap sahaja proses dan senang. Itu antara motif utama kami datang hari ini, walaupun pengunjung ramai dan masa kami terhad kita dapat berjalan juga di sini,” ujarnya.

Keluarga Nuraini Rosli

Manakala bagi Lee Siew Weng yang juga datang bersama keluarga mahu kerajaan menambah baik pelaksanaan program ini pada masa depan.

Katanya, memandangkan program ini mendapat sambutan menggalakkan sepatutnya pihak berwajib sudah membuat perancangan awal  seperti menyediakan parkir yang mencukupi untuk orang ramai.

“Kita datang dengan kereta tapi terpaksa berpusing-pusing cari parkir, ditambah pula n aliran trafik juga sesak.

“Kami terpaksa pulang semula dan meminta anak saya hantar kami ke sini. Membazir masa sedikit. Banyak yang menarik dan kita juga mahu tengok dan dengar sendiri apa PM hendak cakap tapi keadaan di situ sesak,” jelasnya.

Lee Siew Weng (kanan)

Untuk seorang penjual air yang sanggup datang dari Perak, Amirul Asral Mohd Ismail, mengakui dia  tidak menang tangan apabila begitu ramai yang membeli pelbagai jenis air yang dijualnya di pekarangan Pintu B Stadium Bukit Jalil.

“Alhamdulillah, bisnes memang bagus pulangan cukup baik. Berbaloi datang kerana ramai pengunjung dan langsung tidak menang tangan walaupun hanya sekadar jual air tin dan botol. Terima kasih penganjur dan kerajaan kerana beri peluang jana pendapatan,” katanya. -MalaysiaGazette