IPOH – Tidak timbul isu keretakan dalam Parti Amanah Negara (Amanah) berikutan dakwaan jawatan presiden parti itu yang dikatakan akan beralih tampuk kepimpinan menjelang Pemilihan Jawatankuasa Nasional Amanah sesi 2023-2026 pada 23 hingga 24 Disember ini.
Naib Presiden Amanah, Datuk Dr Seri Mujahid Yusof Rawa berkata, isu tersebut tidak pernah timbul memandangkan kedudukan lima jawatan tertinggi akan dipilih 27 kepimpinan utama yang telah diberi mandat oleh perwakilan.
“Dalam kalangan 27 kepimpinan itu, mereka akan memilih siapa yang layak untuk jadi Presiden.
“Jadi, tidak timbul keretakan dan parti pun sudah biasa sebab sebelum ini pernah duduk dalam Pas dahulu, jadi tiada yang pelik kalau mereka nak melantik (Presiden) dalam kalangan 27 orang itu, mengikut merit,” kata Presiden Pakatan Harapan Perak itu.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyempurnakan perasmian Konvensyen Amanah Perak Kali Kelapan di hotel Tower Regency di sini, pada Ahad.
Hadir sama, Pengerusi Amanah Perak, Datuk Asmuni Awi; Pengerusi Parti Keadilan Rakyat (PKR), Chang Lih Kang; Bendahari DAP Perak, Howard Lee Chuan How dan Setiausaha Badan Perhubungan UMNO Perak, Datuk Aminuddin Md Hanafiah.
Disember lalu, seorang pemimpin utama Amanah tidak menafikan terdapat kelompok tertentu sedang mengatur gerakan menukarkan kepimpinan presiden sedia ada, Datuk Seri Mohamad Sabu dengan teraju baharu diketuai Mujahid pada pemilihan parti akan datang.
Ketua Pemuda Amanah Nasional, Mohd Hasbie Muda mengesahkan terdapat pertembungan dua kumpulan penyokong parti yang cuba mendesak sama ada Mohamad atau lebih dikenali sebagai Mat Sabu ditukar dan dilantik sebagai Penasihat Amanah atau kekal menerajui parti bagi tempoh sekurang-kurangnya sepenggal lagi.
Sementara itu, menyentuh ‘cakap-cakap’ mengenai Mujahid yang didakwa bakal dilantik sebagai Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), beliau menyerahkan urusan itu kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“No komen, saya tak tahu apa-apa. Itu urusan Perdana Menteri,” jawabnya secara ringkas.
Sebelum ini, nama Senator Dewan Negara itu antara calon yang disebut bakal menggalas jawatan Menteri KPDN menggantikan Allahyarham Datuk Seri Salahuddin Ayub yang meninggal dunia pada 23 Julai lalu. – MalaysiaGazette