Para penerima Anugerah Industri Agrikomoditi 2023.

KUALA LUMPUR – Tiga pekebun kecil sawit persendirian dari Semenanjung, Sabah dan Sarawak telah memenangi Anugerah Industri Agrikomoditi sempena Hari Agrikomoditi Negara 2023, yang diadakan di sini, baru-baru ini

Mohd Zain Dollah, Encik Paulus Jeen dan Mathew Gundi Anak Pana, masing-masing mewakili Zon Semenanjung, Zon Sabah dan Zon Sarawak dipilih sebagai pemenang berdasarkan pencapaian produktiviti hasil sawit yang tinggi, Amalan Pertanian Baik (GAP), pematuhan kriteria Pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO), mekanisasi ladang, aktiviti integrasi tanaman dan ternakan yang menjana pendapatan.

Anugerah disampaikan oleh Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Perladangan dan Komoditi Datuk Seri Fadillah Yusof.

Mohd Zain, 67, yang mengusahakan ladang sawit dengan keluasan 2.63 hektar di Kuala Krai, Kelantan sejak tahun 2015, mengamalkan GAP dan berjaya mencapai peningkatan hasil buah tandan segar (BTS) selama tiga tahun berturut-turut.

Pembajaan, penuaian, pemangkasan, kawalan rumpai dan serangga, kawalan penyakit mengikut amalan GAP dan penggunaan jentera untuk membantu beliau di ladang berjaya mencatat pengeluaran hasil Buah Tandan Segar (BTS) sebanyak 27.33 tan sehektar setahun bagi tahun 2020, 29.66 tan sehektar setahun bagi tahun 2021 dan 34.70 tan sehektar setahun bagi tahun 2022.

“Penggunaan baja MPOB bagi pokok sawit dan pelaksanaan amalan pertanian baik berjaya meningkatkan buah tandan sawit sehingga dalam 30 tan sehektar setahun,” katanya.

Beliau juga melaksanakan integrasi ternakan lembu, memelihara ayam kampung serta menanam cili bagi menambah pendapatan dan mengoptimumkan penggunaan tanah.

Mohd Zain, yang merupakan ahli Kelompok Minyak Sawit Mampan (SPOC) Machang,
giat menyertai kursus anjuran MPOB dan merupakan pemegang Sijil MSPO dan ahli Kelab 30 Tan MPOB.

Sementara itu, Paulus Jeen, yang mempunyai ladang sawit berkeluasan 18.27 hektar di Telupid, Sabah, turut mencatat peningkatan dalam hasil BTS sebanyak 31.27 tan sehektar setahun, 31.30 tan sehektar setahun dan 31.49 tan sehektar setahun masing-masing bagi tahun 2020, 2021 dan 2022.

Menurutnya, pencapaian hasil BTS yang tinggi hasil pelaksanaan GAP di kebun bagi aktiviti pembajaan, penuaian, pemangkasan, kawalan rumpai dan kawalan perosak yang diamalkannya dan dengan bantuan jentera bagi kerja-kerja di ladang.

“Sebelum ini saya menggunakan baja campuran. Tetapi, selepas saya menggunakan baja MPOB F1 dan Xtra K, hasil BTS saya meningkat,” ujarnya.

Berusia 55 tahun, beliau bijak mengambil peluang dalam meningkatkan pendapatan melalui pelbagai aktiviti pertanian lain yang dijalankan seperti ternakan ikan air tawar, tanaman durian dan cendawan serta perusahaan burung walit.

Paulus yang aktif mengikuti pelbagai kursus yang disediakan MPOB, juga merupakan Ahli Lembaga Koperasi Penanam Sawit Mampan (KPSM) Daerah Telupid serta ahli Kelab 30 Tan MPOB.

Bagi Mathew Gundi pula, penggunaan jentera, lori, traktor, jengkaut dan trak angkat susun membantu beliau dalam mengusahakan kebun sawit miliknya yang berkeluasan 6.7 hektar di Pakan, Sarikei, Sarawak sejak 2013.

Hasil BTS kebunnya meningkat selama tiga tahun berturut-turut dengan catatan 27.60 tan sehektar setahun, 30.89 tan sehektar setahun dan 32 tan sehektar setahun masing-masing bagi tahun 2020, 2021 dan 2022. Justeru, beliau turut tersenarai sebagai ahli Kelab 30 Tan MPOB.

Mathew yang juga merupakan ahli SPOC Meradong, mengamalkan GAP bagi pembajakan, penuaian, pemangkasan, kawalan rumpai, kawalan perosak dan penyakit serta menjalankan integrasi tanaman dan ternakan.

Beliau juga mengusahakan kolam ternakan ikan dan merupakan pemilik pusat timbang Syarikat U Sawit General Trading.

Beliau aktif menghadiri kursus anjuran MPOB seperti Kursus Pengurusan Tapak Semaian MPOB dan Kursus Penggredan BTS. Mathew turut mendapat pengiktirafan sebelum ini sebagai Pekebun Kecil Terbaik Peringkat Daerah Pakan Sempena Pesta Pakan Agrofest 2023.

Anugerah Industri Agrikomoditi sempena Hari Agrikomoditi Negara 2023 adalah pengiktirafan kerajaan kepada pekebun kecil sawit dalam melaksanakan amalan pertanian baik serta mematuhi kriteria Pensijilan MSPO seterusnya mendapat hasil sawit yang optimum. – MalaysiaGazette