KUALA LUMPUR – Spekulasi semakin kuat mengenai pertukaran dan pengguguran beberapa menteri dalam rombakan Kabinet pertama di bawah pentadbiran Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Ia susulan upacara Istiadat Pengurniaan Surat Cara Perlantikan sertai Istiadat Mengangkat Sumpah Menteri dan Setia Sumpah Sumpah Simpan Rahsia oleh Menteri Persekutuan dijadualkan akan berlangsung di Istana Negara pada jam 3 petang esok.
Sumber MalaysiaGazette berkata, akan berlaku ‘kejutan besar’ pada rombakan kali ini termasuk pertukaran portfolio.
Selain itu, ada kementerian diselaraskan atau dibahagi dua.
“Apa yang difahamkan bagi Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) yang pernah diterajui oleh Allahyarham Datuk Seri Salahuddin Ayub akan disandang oleh Naib Presiden Amanah, Adly Zahari yang juga Timbalan Menteri Pertahanan.
“Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa juga akan bertukar portfolio, mungkin ke Kementerian Wilayah yang akan dinaik taraf. Tetapi macam-macam boleh berlaku kerana ramai berpendapat Dr Zaliha sesuai dengan jawatan sekarang dan beliau perlu diberikan peluang lebih lama menerajui kementerian berkenaan. Dengarnya masih ada ‘rundingan’ lagi.
“Nama Datuk Seri Johari Ghani pula disebut-sebut untuk menerajui Kementerian Komunikasi dan Digital. Nama beliau sebelum ini ada disebut untuk menjawat jawatan Kementerian Kewangan namun rasanya tidak ada sebarang perubahan dalam perkara itu. Kementerian ini juga mungkin pemisahan bidang tugas dengan kemunculan Gobind Singh Deo (dulu Mantan Menteri Komunikasi).
“Timbalan Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan, Akmal Nasrullah Nasir mungkin akan diangkat naik jadi menteri penuh, manakala ada kementerian yang akan diselaraskan. Antaranya, Kementerian Air dan Alam Sekitar diterajui Nik Nazmi manakala Kementerian Tenaga dan Sumber Asli pula, Datuk Seri Fadillah Yusof,” katanya.
MalaysiaGazette juga difahamkan tidak ada perubahan dalam Kementerian Pendidikan yang sedang diterajui oleh Fadhlina Sidek.
“Tidak akan ada perubahan kerusi-kerusi diterajui UMNO atau DAP,” ujar sumber tersebut.
Katanya, wujud desas-desus pelantikan individu profesional untuk menjadi Menteri Kewangan Kedua.
Setakat malam ini, nama Datuk Seri Amir Hamzah, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) disebut-sebut akan dipilih menjadi orang nombor dua di Kementerian Kewangan.
Apa yang pasti, sumber berkata, rombakan esok akan menampilkan wajah baharu dan lama dengan jangkaan bekas menteri juga akan muncul semula. -MalaysiaGazette