takfiri jihad fikrah Khairuddin Aman Razali Takiri
Mohd Khairuddin Aman Razali

KUALA LUMPUR – Agenda kebencian terhadap UMNO disemarakkan dengan lebih dahsyat oleh Pas selepas parti berkenaan menjadi sebahagian daripada Kerajaan Perpaduan selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Timbalan Pengerusi Majlis Ulama UMNO, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali berkata, label musuh Allah, munafik dan seumpamanya dijadikan modal politik oleh Pas.

“Apakah politik kebencian ini hanya padam apabila bekerjasama dalam politik dan kembali dihidupkan apabila berbeza platform kepartian?

“Rahmat Islam yang sepatutnya menyatukan semua umat yang bersyahadah sedang terhijab oleh penganutnya sendiri?” katanya dalam hantaran Facebook, hari ini.

Beliau yang juga bekas Setiausaha Majlis Syura Ulama Pas turut mengimbau kembali penubuhan Muafakat Nasional (MN) pada 2019 yang berjaya menyatukan kedua-dua parti itu.

Mohd Khairuddin memberitahu, pertembungan yang panjang antara UMNO dan Pas selama 41 tahun sejak 1978 menjadi reda.

“Namun, MN terungkai sebulan sebelum PRU15. Agenda kebencian kembali disemarakkan.

“Kebencian kepada pimpinan utama UMNO disemarakkan dengan tuduhan kluster mahkamah dan ‘keruh’ yang tidak dilaungkan ketika kerjasama politik,” jelasnya. – MalaysiaGazette