KUALA LUMPUR – Datuk Seri Mohamad Sabu mengakui memang mudah untuk menubuhkan sesebuah parti baharu seperti Parti Amanah Negara (Amanah) kira-kira lapan tahun dahulu.
Bagaimanapun Presiden Amanah itu menjelaskan, cabaran yang cukup besar yang terpaksa ditempuh adalah untuk mengekal dan mempertahankan keberadaan parti itu dalam tempoh yang lama.
“Amanah walaupun kecil berbanding parti-parti lain dalam Kerajaan Perpaduan, kita berbangga dengan komitmen cukup tinggi dari seluruh pimpinan semua peringkat sama ada kawasan, negeri mahu pun nasional.
“Saya amat yakin Kerajaan Perpaduan akan kekal utuh sehingga menjelang PRU-16 akan datang.
“Saya juga ingin menyeru supaya kita semua bersungguh-sungguh ketika berkawan, buktikan komitmen kita dengan turun bersama-sama setiap kali berlakunya Pilihan Raya Kecil (PRK).
“Yakinlah bahawa Kerajaan Perpaduan ini akan kekal dan terus mentadbir negara sehingga PRU-16, Insya-Allah,” katanya menerusi hantaran di Facebooknya hari ini.
Terdahulu, Mohamad yang juga Ahli Parlimen Kota Raja merasmikan Mesyuarat Tahunan Parti Amanah Kawasan Kota Raja 2023 yang di Dewan MPK Sentosa, Klang, Selangor.
Sementara itu, Mohamad menegaskan, Malaysia akan terus menyokong Palestin dan mendoakan semoga negara itu akan mencapai kemerdekaan.
“Perjuangan di Palestin kini telah menjadi perjuangan hak asasi manusia. Kita lihat tekanan yang cukup kuat dari negera-negara Eropah terhadap kekejaman Israel.
“Namun, amat menyedihkan apabila melihat negara-negara Arab masih lagi mengadakan hubungan perdagangan dengan Israel,” ujarnya. – MalaysiaGazette