Hotel Ritz Paris.

PARIS – Sebentuk cincin bernilai 750,000 euro yang hilang di Hotel Ritz di sini telah ditemui dalam pembersih vakum.

Pemiliknya, seorang ahli perniagaan wanita Malaysia yang menjadi tetamu di hotel itu, memfailkan aduan polis pada hari Jumaat selepas mengesyaki seorang pekerja mencurinya.

Pengawal keselamatan Ritz menemui cincin itu dalam habuk dalam beg hampagas pada hari Ahad, lapor Le Parisien.

Akhbar itu melaporkan, tetamu itu telah pergi ke London pada hari Jumaat, tetapi kini akan kembali ke Paris untuk mengambil cincinnya.

The Ritz berkata, pihak hotel telah menawarkan tiga malam lagi kepada tetamu tersebut kerana kesulitan yang dialami wanita itu.

Namun, difahamkan wanita tersebut tidak berhasrat untuk menerima tawaran itu.

Dalam satu kenyataan kepada Le Parisien, hotel itu berkata: “Terima kasih kepada kerja teliti pengawal keselamatan, cincin itu ditemui pagi ini.

“Kami ingin mengucapkan terima kasih kepada kakitangan di Ritz Paris yang menggerakkan pencarian ini dan bekerja setiap hari dengan integriti dan profesionalisme”.

Ahli perniagaan itu memberitahu polis dia meninggalkan cincin itu di atas meja di bilik hotelnya pada hari Jumaat ketika dia pergi membeli-belah di bandar selama beberapa jam, dan apabila dia kembali, cincin itu hilang.

Polis sedang menjaga cincin itu sehingga wanita itu dapat mengambilnya.

Ini bukan kali pertama barang kemas dilaporkan hilang di hotel berkenaan.

Sseorang ahli keluarga diraja Arab Saudi pernah melaporkan kecurian barang kemas bernilai ratusan ribu pound dari suite biliknya. – Agensi