Gambar hiasan.

BUKIT MERTAJAM – Seorang wanita terselamat menjadi mangsa sindiket pemerdagangan manusia selepas polis menyerbu sebuah rumah di Taman Sanctuary, Machang Bubok di sini, pada Rabu lalu.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Tan Cheng San berkata, hasil daripada maklumat awam, pihak polis melakukan serbuan di lokasi tersebut pada jam 5.45 petang yang turut membawa kepada tangkapan suspek lelaki yang bertindak mengurung wanita tersebut.

“Hasil siasatan awal mendapati mangsa berusia 22 tahun itu dikurung untuk dihantar ke sebuah negara jiran bagi bekerja sebagai operator dengan sindiket penipuan dalam talian.

“Mangsa sudah dikurung beberapa hari susulan suspek dipercayai sedang menguruskan proses menghantarnya,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Tambah Cheng San, dalam serbuan itu polis turut merampas dua kereta, sebuah komputer riba serta pelbagai peralatan berkaitan kegiatan pelacuran.

“Suspek lelaki itu kini direman dan kes disiasat mengikut Seksyen 12 Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 serta Seksyen 342 Kanun Keseksaan,” katanya. – MalaysiaGazette