KUALA LUMPUR – Pertubuhan Jasanusa menggesa agar pembinaan Lebuh Raya West Ipoh Span Expressway (WISE) yang menghubungkan Gopeng ke Kuala Kangsar sepanjang 60 kilometer (km) dipercepatkan.

Presiden Pertubuhan Jasanusa, Samsudin Awang berkata, Lebuh Raya WISE dirangka dengan matlamat mencapai kemalangan sifar dan memudahkan aliran trafik antara bandar terutamanya bagi laluan antara Gopeng, Terowong Menora dan Kuala Kangsar.

“Seringkali terdapat kejadian kemalangan di lebuh raya yang menuju ke Terowong Menora dari kedua-dua arah utara dan selatan. Kesesakan yang teruk akibat dari kejadian itu menjadikan isu trafik sebagai satu masalah yang belum dapat diatasi sepenuhnya.

“Oleh itu, Lebuh Raya WISE dipandang sebagai langkah terbaik sebagai alternatif perjalanan yang cepat dan selamat kepada pengguna lebuhraya,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurut Samsudin, lebuh raya itu mampu diklasifikasikan sebagai lebuh raya digital pertama di Malaysia di mana pengguna lebuhraya tersebut hanya menggunakan sistem tol mudah lalu lintas dengan teknologi MLFF (Multi-Lane Free Flow).

Tambah beliau, teknologi tersebut dijangka dapat mengurangkan kesesakan serta meningkatkan kelancaran perjalanan pengguna lebuh raya.

Selain itu, lebuh raya tersebut juga turut menawarkan kemudahan yang menepati citarasa rakyat Malaysia seperti kemudahan internet yang disediakan sepanjang laluannya.

Sementara itu, ekonomi di Perak juga akan berkembang lebih pesat dengan pembinaan projek WISE itu yang merupakan projek pemangkin dan berimpak tinggi.

“Dengan pembinaan Lebuh Raya WISE ini, saya dan para pengguna lebuh raya serta generasi hadapan akan menikmati kemudahan perjalanan yang canggih, selesa, selamat dan mesra alam.

“Saya melihat WISE sebagai aset strategik masa depan bukan sahaja untuk Perak malah untuk negara.

“Atas hakikat tersebut, saya berharap projek WISE dapat dipercepatkan kerana saya yakin lebuh raya itu dapat dimanfaatkan seiring dengan peredaran masa,” ujarnya. MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast