KUANTAN – Kongres Ekonomi Bumiputera yang akan diadakan pada Mac 2024 merupakan platform yang baik untuk meningkatkan ekonomi bumiputera sekali gus menguntungkan semua kaum di Malaysia.
Justeru, kata, Ahli Mesyuarat Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Shahaniza Shamsuddin, mana-mana pihak tidak harus mempersoalkan penganjuran kongres berkenaan sebaliknya memberikan sokongan terhadap usaha untuk melonjakkan ekonomi bumiputera termasuk di Sabah, Sarawak serta komuniti orang asli.
Beliau berkata, apabila ekonomi orang Melayu kuat, ekonomi negara meningkat dan semua kaum bakal mengecapi kestabilan itu kerana struktur ekonomi berantai.
“Kunci kekuatan Malaysia yang harmoni dan bersatu padu adalah orang Melayu perlu lebih kuat dan stabil dari segi politik mahupun ekonomi.
“Melalui kekuatan ini, dengan sendirinya kaum-kaum lain juga akan menikmati limpahan daripada pemerkasaan ekonomi tersebut.
“Jadi tak sepatutnya mana-mana pihak mempolemikkan penganjuran kongres tersebut,” katanya di sini.
Shahaniza berkata, penganjuran kongres itu juga tidak sepatutnya jadi pertikaian kerana keadaan ekonomi sekarang jauh beza selepas pandemik Covid-19.
“Kehidupan kaum bumiputera walaupun bertambah baik tetapi masih lagi ketinggalan, jadi kongres tersebut bertujuan memperkasakan lagi ekonomi bumiputera,” tambahnya.
Penganjuran kongres itu menjadi isu apabila Senator Datuk Seri Ti Lian Ker ketika membahaskan Belanjawan 2024 di Dewan Negara yang meminta kerajaan tidak meneruskan program Kongres Ekonomi Bumiputera, sebaliknya menganjurkan kongres ekonomi yang menguntungkan keseluruhan rakyat. – MalaysiaGazette