Jais Abdul Karim SPRM kad pengenalan MCW peguam negara kebocoran data peribadi
Jais Abdul Karim

KUALA LUMPUR – Tohmahan kononnya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dijadikan alat politik dapat dielak sekiranya ia diletakkan di bawah Yang di-Pertuan Agong.

Presiden Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW), Jais Abdul Karim berkata, langkah itu mampu meningkatkan kebebasan SPRM dan menjadikannya lebih telus sehingga berupaya meningkatkan indeks persepsi rasuah (CPI) negara pada masa hadapan.

“MCW dan rakyat secara keseluruhannya mempunyai persepsi bahawa SPRM di bawah Yang di-Pertuan Agong akan memberi impak yang positif.

“Ini adalah kerana banyak insiden di dalam negara yang kelihatan seolah-olah parti pembangkang kerap kali menjadi ‘mangsa’ dan SPRM sering dituduh terikat dengan kerajaan semasa,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau menjunjung kasih titah Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar yang mencadangkan agar lebih banyak tanggungjawab diberi kepada Yang di-Pertuan Agong termasuk pemantauan secara terus terhadap SPRM dan Petronas.

Baginda bertitah demikian dalam wawancara bersama The Straits Times baru-baru ini.

Jais menambah, sebelum ini, pelbagai pihak termasuk MCW sering mencadangkan agar calon-calon untuk mengetuai agensi-agensi seperti SPRM, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan Jabatan Audit Negara ditemu duga dan dipilih melalui proses khas dengan perkenan Seri Paduka atau terus diletakkan di bawah kuasa baginda.

Menurut beliau, cadangan yang lebih lengkap adalah dengan memberikan SPRM kuasa autonomi penuh terutamanya dalam hal berkaitan kewangan dan pelantikan atau pemecatan Ketua Pesuruhjaya atau pegawai serta diiktiraf sebagai sebuah badan perlembagaan sendiri di bawah Yang di-Pertuan Agong.

Jais berkata, perkara tersebut akan melibatkan proses pindaan Perlembagaan Persekutuan.

“Tujuan cadangan ini adalah untuk memupuk keyakinan orang ramai terhadap agensi berkenaan dan bagi menghapuskan pandangan bahawa agensi itu akan berat sebelah kepada kerajaan semasa.

“Kedaulatan undang-undang yang sebenarnya mesti dipatuhi dan ditegakkan,” jelasnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast