Calon Barisan Nasional (BN) N.17 Gombak Setia, Datuk Megat Zulkarnain Omardin (kiri) mengangkat tangan bersama calon Perikatan Nasional (PN) N.17 Gombak Setia, Hilman Idham (tengah) dan calon bebas N.17 Gombak Setia, Mohamed Salim Ali selepas diumumkan sebagai calon sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Selangor ke-15 di Pusat Penamaan Calon di SMK Sungai Pusu, Gombak. Foto FAREEZ FADZIL, 29 JULAI 2023.

KUALA LUMPUR – Hakim Pilihan Raya Mahkamah Tinggi Ipoh membuat keputusan untuk menolak petisyen pilihan raya bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Gombak Setia hari ini.

Hakim, Datuk Abdul Wahab Mohamed membuat keputusan tersebut mendapati tuduhan-tuduhan yang dikemukakan oleh pempetisyen adalah tidak berasas sama sekali dan mengekalkan Muhammad Hilman Idham sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) kawasan itu.

Dalam satu kenyataan, Muhammad Hilman bersyukur dengan keputusan tersebut dan berkata, keputusan itu memberikan makna dan pengertian yang besar buat diri saya dan seluruh pengundi DUN Gombak Setia di mana keadilan telah ditegakkan.

“Sejak awal lagi saya menegaskan bahawa petisyen yang dikemukakan ini khususnya mengenai isu politik wang dan rasuah politik adalah fitnah dan tohmahan dengan niat jahat bertujuan untuk menjatuhkan kredibiliti dan mencemar reputasi saya sebagai seorang ADUN.

“Usaha petisyen ini juga adalah satu cubaan untuk mengkhianati dan memperkotak-katikkan mandat yang telah diberikan oleh para pengundi DUN Gombak Setia.

“Justeru, keputusan hari ini telah memberi keabsahan kepada mandat para pengundi DUN Gombak Setia yang memilih Perikatan Nasional (PN),” katanya.

Mahkamah Tinggi Ipoh hari ini telah menolak petisyen untuk membatalkan kemenangan wakil calon PN, Muhammad Hilman di Gombak Setia.

Petisyen oleh pengundi, Shaffie Omar yang mendakwa wang pemberian sebanyak RM150 telah diberikan kepada pengundi dalam pilihan raya negeri antara 4 dan 5 Ogos lalu.

Dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Selangor itu, Hilman telah memenangi kerusi DUN Gombak Setia dengan mendapatkan 30,299 undi, mengalahkan Megat Zulkarnain Omardin dari Barisan Nasional (BN (30,241 undi) dan calon bebas Salim Ali (1,076 undi). – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast