KUALA LUMPUR – MCA meminta Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh menjawab tiga persoalan berhubung isu kerosakan padang Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) di sini yang rosak.
Naib Presidennya, Datuk Ir Lawrence Low bertanya mengenai respons serta jaminan Hannah agar kejadian sama tidak berulang pada masa akan datang.
Selain itu, beliau mempersoalkan tentang langkah penambahbaikan dan prosedur yang diperketatkan tanpa menafikan agenda merakyatkan stadium.
“Siapakah yang perlu dipertanggungjawabkan kerana gagal menjalankan tata kelola dan tadbir urus baik dalam pengurusan stadium? Jika ada, apakah bentuk hukuman yang dikenakan?
“Mohon persoalan ini dijawab segera dan saya yakin orang ramai juga menantikan jawapan daripada pihak berwajib berhubung perkara ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Sebahagian padang SNBJ rosak selepas konsert Coldplay diadakan di situ pada 22 November lalu dan masih belum dapat dipulihkan sepenuhnya untuk aksi fina Piala Malaysia, Sabtu lalu. – MalaysiaGazette