Lima lelaki tempatan yang melarikan diri menaiki sebuah kereta selepas terlibat dalam rusuhan di PPR Jalan Sungai di Sungai Pinang disambung reman dua hari lagi.

GEORGE TOWN – Lima lelaki yang melarikan diri menaiki sebuah kereta selepas terlibat dalam rusuhan di Flat Projek Perumahan Rakyat (PPR) Jalan Sungai, Sungai Pinang di sini pada Rabu lalu disambung reman dua hari lagi.

Perintah reman terhadap lima lelaki tempatan berusia 20 hingga 30-an itu dikeluarkan Majistret Siti Nurul Suhaila Baharin sehingga 13 Disember ini.

Lima lelaki tersebut ditahan polis dalam beberapa serbuan sekitar Lembah Klang serta Melaka pada Sabtu lalu sebelum direman selama tiga hari yang berakhir hari ini.

Setakat ini, secara keseluruhan seramai 10 suspek ditahan susulan terlibat dalam kes rusuhan di PPR Jalan Sungai di sini.

MalaysiaGazette pada 6 Disember lalu melaporkan lima lelaki ditahan dalam satu kejadian rusuhan di PPR Jalan Sungai manakala beberapa lagi lelaki diburu selepas melarikan diri menaiki sebuah kereta.

Dalam kejadian jam 2.30 pagi itu, seorang lelaki  berusia 25 tahun ditahan bersama sepucuk pistol tiruan selain berada dalam keadaan berlumuran darah akibat kecederaan pada kepala.

Susulan itu, pihak polis menahan empat lagi lelaki berusia 24 hingga 34 tahun yang dipercayai terlibat dalam rusuhan itu di lokasi sama.

Selain itu, polis turut mengejar sebuah kereta yang dipercayai dinaiki beberapa suspek yang terlibat dalam rusuhan sama namun berlaku pelanggaran menyebabkan motosikal dua anggota itu terbalik. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast