PUTRAJAYA – Spekulasi rombakan Kabinet dalam masa terdekat ini tidak dibincangkan dalam Mesyuarat Jemaah Menteri pada minggu lalu.
Pemangku Menteri Perdagangan Dalam Negeri Dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd. Ali berkata, ia terserah kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk melakukannya walaupun ia pernah disebut sebelum akhir tahun ini.
“Media lagi tahu dan tidak berbangkit dalam mesyuarat Kabinet dan saya fikir Perdana Menteri ada menyebut di Putrajaya ada bertanya rombakan akan dibuat sebelum 2024,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Sesi Town Hall Dasar Francais Negara 2023 di kementeriannya di sini hari ini.
Beliau diminta mengulas mengenai rombakan Kabinet yang isunya berlegar dalam kalangan media sejak pagi tadi.
Minggu lalu, Anwar berkata, rombakan Kabinet perlu diadakan sekiranya prestasi Jemaah Menteri merundum atau jika terdapat keadaan yang menuntut ia dilaksanakan.
Bagaimanapun, beliau berkata, tempoh masa setahun pentadbiran Kerajaan Perpaduan masih terlalu awal untuk membuat penilaian yang adil dan menteri-menteri perlu diberikan peluang untuk memperbaiki serta meningkatkan prestasi.
Sebelum itu, Perdana Menteri secara berseloroh berkata rombakan Kabinet Kerajaan Perpaduan mungkin dibuat sebelum hujung tahun ini.
Sementara itu, khabar angin berkaitan rombakan Kabinet mula bertiup sejak Ogos lalu apabila Anwar ditanya mengenai kemungkinan berlaku perubahan barisan kepimpinan selepas selesai Pilihan Raya Negeri (PRN) tahun ini.
Rombakan Kabinet kembali diperkatakan susulan kekosongan jawatan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) yang disandang Allahyarham Datuk Seri Salahuddin Ayub yang kini dipangku oleh Armizan.
Ditanya sama ada beliau sedia bertukar kementerian ke KPDN, Armizan hanya tersenyum dan enggan mengulas mengenainya.
Ketika ini, beliau adalah Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah, Sarawak Dan Tugas-Tugas Khas).
– MalaysiaGazette