Ahli Parlimen Bukit Gantang, Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal antara Ahli Parlimen Bersatu yang menyokong Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim. Foto MOHD ADZLAN, 11 DISEMBER 2023.

PUCHONG – Pas disaran untuk berunding dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menjadi sebahagian daripada kerajaan dan bukan sahaja dengan UMNO semata-mata.

Ahli Parlimen Bukit Gantang, Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal berkata, jika parti itu terbuka untuk bekerjasama dengan UMNO maka tidak seharusnya menjadi isu untuk berunding dengan Perdana Menteri bagi tujuan sama.

Beliau mencadangkan Naib Presiden Pas, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar yang disebut-sebut sebagai calon perdana menteri Perikatan Nasional (PN) untuk menjadi jururunding.

“Saya nak minta dengan Pas cuba luaskan sikit ruang perbincangan ini dengan mengajak Kerajaan Madani yang diketuai Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk berunding. Kenapa hendak berunding dengan UMNO yang hanya ada 30 kerusi yang tidak boleh buat kerajaan?

“Kalau mereka sudah ada tokoh untuk menjadi perdana menteri kenapa tidak diketengah sebagai jururunding utama. Rakyat boleh lihat bagaimana bakal perdana menteri yang ditonjolkan oleh Pas dapat memajukan negara dan dapat menyelesaikan masalah perpaduan dalam negara,” katanya.

Beliau mengulas kenyataan Timbalan Presidan Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man dan Mursyidul Am Pas, Datuk Hashim Jasin baru-baru ini bahawa parti itu masih terbuka untuk bekerjasama dengan UMNO.

Tambah Syed Abu Hussin, Pas dan Ahmad Samsuri boleh menjadi penghubung kerjasama antara Kerajaan Madani dan Perikatan Nasional.

“Rakyat boleh lihat bagaimana bakal perdana menteri yang ditonjolkan oleh Pas dapat memajukan negara dan dapat menyelesaikan masalah perpaduan dalam negara.

“Sebab kita tak boleh tolak 40 peratus yang tinggal dalam negara ini bukan Melayu. Mereka adalah Cina dan India yang mewakili parti masing-masing. Kalau Pas nak tolak parti lain yang berteraskan kaum dan tidak mahu bekerjasama apa akan jadi kepada negara?

“Jadi saya berharap dan meminta Pas dengan hati yang lapang dan ruang yang terbuka atas dasar agama boleh berbincangan dengan sesiapa mengapa tidak Pas teruskan perbincangan mewaliki PN,” katanya bersungguh-sungguh,” katanya pada sidang media hari ini.

Syed Abu Hussin merupakan ahli Parlimen daripada Bersatu yang kelima menyatakan sokongan terhadap kepimpinan Anwar.-MalaysiaGazette