Beberapa anggota polis mengawal pergerakan keluar masuk blok R (kediaman Zayn Rayyan) kepada penduduk sekitar dan orang awam.

PETALING JAYA – Polis masih meneruskan siasatan berhubung kes kematian kanak-kanak autisme, Zayn Rayyan Abdul Matiin, 6, yang kini memasuki hari kelima di Apartmen Idaman, Damansara Damai di sini hari ini.

Tinjauan MalaysiaGazette sejak pukul 8 pagi tadi mendapati keadaan sekitar apartmen itu kembali sunyi dan tiada kehadiran Unit Forensik serta Unit Anjing Pengesan (K9) Polis DiRaja Malaysia (PDRM).

Bagaimanapun terdapat beberapa anggota polis mengawal pergerakan keluar masuk blok R (kediaman Zayn Rayyan) kepada penduduk sekitar dan orang awam.

Manakala pihak media pula diminta tidak berkumpul berdekatan blok tersebut agar tidak menganggu siasatan kes terbabit.

Semalam polis telah mengambil 228 sampel asid deoksiribonukleik (DNA) sebahagian penduduk di 18 blok, Apartmen Idaman.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, kesemua sampel itu diambil menerusi ‘mass DNA screening’ (ujian DNA beramai- ramai) dan ia akan diteruskan.

Dalam pada itu, pasukan forensik telah membawa keluar empat beg kertas berwarna coklat selepas pemeriksaan di kediaman Zayn Rayyan.

Hussein berkata, pihaknya membawa keluar sampel itu pukul 5.15 petang semalam bagi membantu siasatan berhubung kes itu.

Kematian Zayn Rayyan diklasifikasi sebagai kes bunuh selepas berah siasat menemukan kecederaan pada leher dan badan kanak-kanak malang itu.

Pada 6 Disember sekitar pukul 10 malam, mayat Zayn Rayyan ditemui dalam keadaan mengiring di sebatang anak sungai kira-kira 200 meter dari rumahnya di Apartmen Idaman. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast