Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mempengerusikan mesyuarat Kabinet yang pertama di Pejabat Perdana Menteri, 5 Disember 2022. - SADIQ ASYRAF/Pejabat Perdana Menteri

KUALA LUMPUR – Kerajaan Perpaduan dijangka membuat rombakan Kabinet pertamanya esok.

Ia berdasarkan kepada status terkini Bernama yang memetik sumber berkata bahawa istiadat angkat sumpah jawatan akan berlangsung petang esok.

“Istiadat angkat sumpah Menteri Persekutuan dijadualkan pada 2.30 petang esok,” lapor Bernama.com.

Media lain pula memetik ciapan di X oleh seorang pegawai kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang berkata, rombakan tersebut akan dibuat “tak lama lagi”.

Namun, beliau tidak menyatakan secara terperinci.

Meskipun spekulasi rombakan Kabinet bertiup kencang, bagaimanapun Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah Sarawak dan Tugas-tugas Khas) Datuk Armizan Mohd Ali menolak desas-desus itu.

Katanya, rombakan Kabinet dalam masa terdekat ini tidak dibincangkan dalam Mesyuarat Jemaah Menteri pada minggu lalu.

Pemangku Menteri Perdagangan Dalam Negeri Dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd. Ali berkata, terserah kepada Anwar untuk melakukannya kerana perkara itu disebut akan berlaku sebelum akhir tahun ini.

“Media lagi tahu dan tidak berbangkit dalam mesyuarat Kabinet. Saya fikir Perdana Menteri ada menyebut di Putrajaya bila ada bertanya, rombakan akan dibuat sebelum 2024,” katanya. – MalaysiaGazette