Dr Abdul Rahman Osman

KUANTAN – Tiada isu atau pertikaian mengenai penangguhan sementara bacaan Qunut Nazilah pada kelima-lima waktu solat fardhu di negeri ini.

Mufti Pahang, Datuk Seri Dr. Abdul Rahman Othman berkata, ia kerana perkara tersebut sudah diputuskan oleh pihak pentadbiran di Pahang berdasarkan hadis sahih dan matan.

Menurutnya, walaupun pihak lain boleh membuat tafsiran sendiri berdasarkan pemahaman masing-masing namun menurutnya Jabatan Mufti Pahang memegang hadis seperti riwayat al-Bukhari, Muslim, Abu Daud dan Ibn Khuzaimah.

“Hadis Bukhari mengatakan perkara begitu dan kita merujuk kepada Kitab Majmuk Imam Nawawi. Itu mungkin tafsiran orang tapi hadis matan begitu jelas. Apa yang kita cakap berdasarkan hadis, kalau tidak terima terpulanglah.

“Kita tak ada masalah dengan komen-komen orang ramai. Pentadbiran kami cuma melakukan pelarasan. Jika keadaan lebih memerlukan tiada masalah untuk melakukan bacaan Qunut Nazilah setiap waktu solat fardhu.

“Apapun kami berpegang pada hadis sahih dan perkara itu jelas. Hendak ikut, ikutlah. Kita (Pahang) tidak ada masalah orang lain buat berijtihad. Kita pun tak menyalahkan kalau orang nak buat,” jelas beliau.

Beliau mengulas mengenai kenyataan terdahulu mengenai penangguhan bacaan Qunut Nazilah di Pahang.

Dalam kenyataan sebelum ini, Mufti Pahang memaklumkan masjid di Pahang menghentikan sementara doa Qunut Nazilah ketika solat fardhu kepada penduduk Palestin pada 7 Disember lalu selaras dengan sunnah Rasulullah SAW yang hanya mengamalkan doa tersebut selama sebulan.

Abdul Rahman menambah, makluman yang dikeluarkan itu bagi mememudahkan pengurusan masjid-masjid negeri ini agar tidak perlu melakukan doa Qunut Nazilah pada kelima-lima solat fardhu.

Walau bagaimanapun pihaknya tidak menghalang mana-mana pihak daripada melakukan perkara sunat itu pada solat Subuh.

“Kita tak perlu bergaduh pasal Qunut Nazilah, kita dah buat, dah ikut, tidak perlu ada pertikaian. Apa yang kita lakukan sudahpun menepati kehendak Rasulullah.

“Selama ini kita buat lebih dari 30 hari, Kita sudah maklum kepada imam di masjid negeri kita, di Pahang tiada masalah. Bukan kita menolak, kita masih ada Subuh, boleh baca Qunut Nazilah. Kalau ada masjid buat (bacaan) pada Subuh tidak ada masalah.

Tambahnya meskipun Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) mengeluarkan surat pemakluman penangguhan sementara bacaan itu pada solat fardhu di masjid, pihaknya tidak menolak untuk memulakan semula bacaan Qunut Nazilah.

Penangguhan itu dilakukan supaya meringankan tugasan supaya tidak terikat kerana tidak tahu bila konflik di Gaza, Palestin akan berakhir.

“Kalau kita mengikuti perang Palestin dan Israel, kita tidak tahu sampai bila. Takkan nak sepanjang perlu tetapkan tahun? Sebenarnya kita cuma menangguh bacaan dalam kelima-lima solat fardhu.

“Kita tak ada masalah orang komen, pentadbiran kami buat pelarasan. Jika keadaan lebih memerlukan untuk buat setiap waktu solat fardhu

”Sila rujuk Kitab Majmuk Imam Nawawi untuk rujukan. Kalau mazhab lain tak ada bacaan Qunut pada solat subuh kecuali Mazhab Shafie.

Terdahulu Mufti Pulau Pinang , Datuk Seri Wan Salim Wan Mohd Noor mengulas Tiada nas daripada al-Quran atau hadis yang menghadkan tempoh masa tertentu untuk membaca doa Qunut Nazilah selain ia juga bergantung kepada selama mana bencana berlaku. – MalaysiaGazette