Israel mahu memusnahkan terowong di Gaza yang disyaki menjadi operasi Hamas. Foto media sosial

WASHINGTON – Tentera Israel telah mula mengepam air laut ke dalam rangkaian terowong yang didakwa digunakan oleh kumpulan Hamas di Gaza.

Wall Street Journal, memetik sumber seorang pegawai Amerika Syarikat (AS) yang diberi taklimat mengenai operasi ketenteraan Israel berkata, langkah memenuhkan terowong dengan air dari Laut Mediterranean adalah sebahagian daripada strategi lebih luas digunakan oleh Israel untuk memusnahkan terowong itu.

Usaha itu dilaporkan dalam peringkat awal.

Sistem terowong itu sepanjang 300 batu dan penggunaan pintu letupan tebal sedang dinilai oleh Israel, menurut pegawai AS.

Memulakan operasi banjir itu, proses tersebut dijangka berlangsung beberapa minggu, bermula serentak dengan pemasangan dua pam sebagai tamabhan lima pam yang dipasang sebelum ini.

Ujian awal telah dijalankan bulan lepas, kata pegawai AS.

Langkah itu, yang pertama kali diumumkan oleh akhbar itu awal bulan ini, telah mendapat kritikan, dengan ada yang mengatakan ia akan mewujudkan malapetaka alam sekitar dan memburukkan lagi keadaan di Gaza.

Beberapa pegawai dari pentadbiran Joe Biden telah menyuarakan kebimbangan berkata, penggunaan air laut yang mungkin tidak berkesan dan boleh membahayakan bekalan air tawar di Gaza, menurut laporan itu.

Israel percaya sistem bawah tanah telah menjadi kunci kepada operasi Hamas di medan perang.

Israel telah mengebom Semenanjung Gaza dari udara dan darat, melaksanakan kepungan dan melancarkan serangan darat sebagai tindakan balas terhadap serangan rentas sempadan oleh Hamas pada 7 Oktober.

Sekurang-kurangnya 18,412 rakyat Palestin telah terbunuh dan 50,100 cedera dalam serangan Israel sejak itu, menurut pihak berkuasa kesihatan Gaza. – Agensi