Mohd Rani Hisham Samsudin

KUALA LUMPUR – Gangguan perkhidmatan Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) yang terjejas akibat kren pembinaan tumbang semalam dijangka pulih dalam tempoh 24 jam.

Ketua Pegawai Eksekutif KTMB, Datuk Mohd Rani Hisham Samsudin berkata, kerja-kerja membaik pulih di lokasi kejadian sedang giat dijalankan.

Menurutnya, operasi perkhidmatan tren KTMB telah mengalami gangguan akibat sebuah kren binaan yang digunakan untuk projek parkir bertingkat, tumbang di atas landasan kereta api di KM355.749, antara Rawang dan Kuang pada jam 5.35 petang semalam, menyebabkan alat talian atas terputus.

Insiden tersebut telah menyebabkan perkhidmatan tren elektrik (ETS) dan KTM Komuter Lembah Klang laluan KL Sentral – Tanjung Malim – KL Sentral mengalami gangguan perkhidmatan dan kelewatan daripada jadual asal melebihi dua jam.

Seramai 7,000 orang penumpang tren komuter dan 3,000 penumpang ETS telah terjejas dan jumlah itu dijangka meningkat kepada 30,000 orang hari ini melibatkan 20,000 penumpang komuter dan 10,000 penumpang ETS.

Jumlah itu melibatkan 32 perkhidmatan ETS ke utara dan selatan dan 46 khidmat komuter di antara Pelabuhan Klang dan Tanjung Malim.

“Situasi ini dijangka berlarutan sehingga operasi tren kembali pulih sepenuhnya seperti sedia kala.

“Bagi memastikan jadual perjalanan penumpang tidak terjejas, KTMB menyediakan 18 bas perantara untuk penumpang ETS dan enam bas perantara komuter bagi memindahkan mereka ke stesen yang tidak terjejas dan meneruskan perjalanan mereka ke destinasi masing-masing,” katanya pada sidang media di Rawang.

Mohd Rani berkata, insiden itu juga menjejaskan perkhidmatan kargo dan terpaksa dihentikan sementara sehingga keadaan pulih.

Tambah beliau, siasatan awal mendapati kren pembinaan itu sebenarnya mendap dan condong ke arah landasan sehingga menyebabkan bahagian atas kren patah kepada empat bahagian sebelum jatuh menimpa bersama kabel komponen kren tersebut di atas landasan ke arah utara dan selatan.

“Bagaimanapun, kita telah bertindak awal dan pantas, yang mana kakitangan kami dari jabatan bertauliah melakukan insolasi bekalan elektrik pada laluan terjejas yang mengakibatkan kabel elektrik dari Stesen Rawang ke Kepong Sentral terputus dan berlaku banyak pintasan elektrik.

“Jadi kakitangan kami berjaya melakukan kerja memendekkan insolasi elektrik daripada Stesen Kuang ke Stesen Rawang sahaja sekali gus menyaksikan dua stesen berkenaan sahaja tidak mempunyai bekalan elektrik buat masa ini,” ujarnya.

Mohd Rani menambah, semua kakitagan KTMB sedang menggembleng tenaga untuk membaik pulih keadaan.

“Sejak semalam hingga hari ini landasan yang terjejas sudah dibersihkan untuk memberi laluan kepada kerja-kerja baik pulih segera,” katanya.

Menurutnya, KTMB masih terlibat dalam proses mengenalpasti punca kejadian itu dan proses menilai kerosakan sedang diteruskan lagi.

“Selain itu, kita mahu mengumumkan mana-mana penumpang yang tidak ingin meneruskan perjalanan mereka, KTMB memulangkan bayaran mereka melalui e-wallet.

“Saya harap mereka dapat berurusan kami menerusi talian yang disediakan atau terus berurusan ke kaunter stesen KTMB kami untuk maklumat dan tindakan lanjut,” ujarnya.- MalaysiaGazette