KUALA LUMPUR – Ibu kanak-kanak autisme, Zayn Rayyan Abdul Matiin, 6, yang dibunuh berkongsi kenangan terakhir dengan anak sulungnya di akaun Instagram.

Menerusi perkongsian bergambar itu, Ismanira Manaf, 28, mengenang saat-saat membawa Zayn Rayyan keluar berjalan-jalan dua hari sebelum tragedi hitam itu berlaku.

Katanya, Zayn Rayyan dan adiknya ketika itu gembira dapat keluar bersiar bersamanya dan ayah kanak-kanak berkenaan.

Ismanira berkata, sesibuk mana pasangan suami isteri itu akan tetap meluangkan masa untuk membawa kedua-dua anak lelakinya untuk keluar berjalan-jalan.

“Waktu ini Isnin (pada) minggu lepas, 4 Disember, ini kali terakhir mommy dan daddy dapat bawa abang jalan-jalan. Abang dgn adik suka sangat jalan-jalan. Dapat pusing-pusing mall (pusat beli belah) makan-makan itu memang gembira sangat sangat lah dua beradik ni, penat ke sibuk macam mana pun mommy daddy akan cuba jugak bawak abang dgn adik jalan-jalan,” tulisnya.

Beliau tidak menyangka ia adalah antara saat gembira terakhir di antara mereka sekeluarga sebelum Zayn Rayyan dilaporkan hilang kemudian ditemui meninggal dunia akibat perbuatan bunuh.

“Happy sangat abang waktu ni, mommy daddy dan adik pun happy waktu ni.. Tak (Tidak) sangka ini moment (saat) happy (gembira) terakhir kita. Mommy abadikan kat (di) sini ya,” tulisnya.

Hari ini merupakan hari ketujuh misi mengesan bukti-bukti pembunuhan kanak-kanak autisme itu berdekatan kediamannya di Blok R, Apartmen Idaman, Damansara Damai.

Polis menemui beberapa barang dan objek yang boleh membantu siasatan dalam pemeriksaan rumah ke rumah kali kedua yang dijalankan semalam.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, bagaimanapun pihaknya perlu melakukan analisa terlebih dahulu terhadap bukti-bukti yang ditemui itu. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast