PUTRAJAYA – Datuk Seri Johari Abdul Ghani masih lagi memegang jawatan Pengerusi Pasukan Petugas 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Beliau yang juga Ahli Parlimen Titiwangsa mengesahkan perkara tersebut kepada pemberita selepas merakam waktu masuk pada hari pertamanya sebagai Menteri Perladangan dan Komoditi, hari ini.
“Sekarang ini, saya masih lagi (menyandang jawatan itu). Tengoklah nanti siapa ada berani buat, buatlah,” katanya di lobi bangunan Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK) di sini, hari ini.
Berhubung perkembangan isu tersebut, Johari memberitahu, proses arbitrasi masih diteruskan untuk mendapatkan perintah untuk menentukan sama ada Goldman Sachs masih berhutang dengan 1MDB.
Beliau dilantik oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk mengetuai pasukan petugas tersebut pada Mac lalu.
Antara tugas pasukan petugas 1MDB adalah menyiasat penyelesaian antara kerajaan terdahulu di bawah pentadbiran bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dengan Goldman Sachs bernilai AS$2.5 bilion pada 2020.
Februari lalu, Johari yang Naib Presiden UMNO membangkitkan persoalan mengenai keputusan kerajaan ketika itu kerana Goldman Sachs telah meraih bon bernilai AS6.5 bilion pada 2012 dan 2013.
Beliau turut mempersoalkan peranan peguam-peguam yang mewakili 1MDB dan mengapa mereka bersetuju menyelesaikan pertikaian pada nilai yang lebih rendah. – MalaysiaGazette