Tabung Haji
Imej Tabung Haji sebagai sebuah Institusi Kewangan Islam yang terunggul ini perlu dipelihara oleh masyarakat Islam di Malaysia dan menaikkan imej Malaysia di persada dunia.

Oleh: Ustaz Imran Mohammad Khayat
Bahagian Kumpulan Syariah, Lembaga Tabung Haji (TH)

MERAIH haji mabrur adalah harapan setiap umat Muslim ketika menjalani ibadah haji di Tanah Suci. Oleh itu, adalah tanggungjawab umat Islam untuk memastikan bahawa sumber pendapatan yang digunakan untuk perbelanjaan haji adalah halal.

Lembaga Tabung Haji (TH), telah memainkan peranan penting dalam mendidik masyarakat di negara ini untuk menabung secara patuh Syariah sebagai persiapan untuk menjalani ibadah haji. Selain itu, TH kekal komited untuk mencapai misi dengan memberikan pulangan yang halal dan toyyib kepada para pendeposit.

Pada era pra-penubuhan TH pada tahun 1962, rancangan penubuhan TH telah dibentangkan kepada Sheikh Mahmoud Shaltout, Rektor Al-Azhar, serta delegasi dan para cendikiawan dari Universiti Al-Azhar. Ini kerana, masyarakat Islam di Malaysia sebelum era penubuhan, TH begitu cakna tentang pengharaman riba, jesteru mengelakkan untuk menyimpan wang di perbankan konvensional.

Rancangan penubuhan TH ini kemudianya telah mendapat kelulusan serta penghargaan dari Sheikh Mahmoud Shaltout serta deligasi Universiti Al-Azhar. Ini menunjukkan bahawa komitmen kepada prinsip-prinsip Syariah telah menjadi nadi jantung penubuhan TH.
Dengan demikian, dapat kita lihat bahawa penubuhan TH telah bersandarkan kepada asas prinsip Syariah yang kukuh sejak awal prapenubuhan TH lagi sehinggalah ke era masa kini.

Perkembangan Tadbir Urus Syariah di TH

Setelah melalui enam dekad sejak penubuhannya, TH telah melancarkan pelbagai usaha dan inisiatif bagi memastikan operasi berjalan dengan cekap dan agar ia dapat terus berada di barisan hadapan sebagai agensi patuh Syariah yang dihormati, bukan sahaja di peringkat negara, tetapi juga di peringkat antarabangsa.

Salah satu inisiatif yang telah dijalankan oleh TH untuk memperkukuh tadbir urus adalah dengan memperkenalkan amalan Rangka Kerja Tadbir Urus Syariah dan menubuhkan panel Jawatankuasa Penasihat Syariah yang terdiri daripada pakar-pakar Syariah dan Kewangan Islam.

Tadbir urus syariah terus diperkukuhkan lagi apabila pakar Syariah telah dilantik sebagai salah satu ahli panel pelaburan TH. Secara umumnya, di bawah Rangka Kerja Tadbir Urus Syariah ini juga terdapat fungsi-fungsi Syariah yang lain seperti Perundingan dan Kajian Syariah, Semakan dan Pemantauan Syariah, Pengurusan Risiko Syariah, dan Audit Syariah dalam memastikan kepatuhan Syariah secara komprehensif. Selain daripada itu, TH juga telah melancarkan Rangka Kerja Pengawasan TH (RKP) pada bulan September 2021.

Penubuhan RKP dan Rangka Kerja Tadbir Urus Syariah ini bertindak sebagai asas kawalan tadbir urus TH, dan sekaligus memastikan bahawa TH dapat menjalankan mandat pengurusan haji dengan lebih efisien dan berkesan, sambil mengekalkan kelestariannya sebagai entiti pengurusan haji bertaraf dunia.

Penerapan Kefahaman Konsep Istito’ah Dalam Ibadah Haji

Ibadah Haji memiliki keunikan tersendiri kerana ia menggabungkan dua aspek, iaitu aspek material dan fizikal. Ini berbeza dengan solat dan berpuasa yang hanya memerlukan aspek fizikal, seperti menahan lapar dan dahaga. Manakala, zakat memerlukan aspek material, iaitu mempunyai harta yang mencukupi nisab dan mencapai tempoh masa yang tertentu.

Secara umumnya, umat Islam yang belum mencapai tahap istito’ah adalah tidak diwajibkan untuk menjalankan ibadah haji. Konsep istito’ah bukanlah sesuatu yang baru dan telah dibincangkan oleh para ulama dan fuqaha’ dari empat mazhab sejak dahulu.

Konsep istito’ah merangkumi tiga aspek, iaitu kemampuan kewangan (istita’ah al-maliyah), kemampuan fizikal (istita’ah al-badaniyah), dan kemampuan keselamatan diri (istita’ah al-amniyyah).

Para fuqaha’ telah bersepakat bahawa istito’ah adalah salah satu daripada syarat umum wajib haji, maka barangsiapa yang tidak mempunyai istito’ah (kemampuan) maka kewajipan hajinya tergugur. Ini adalah berdasarkan firman Allah SWT di dalam Surah Ali-Imran Ayat 97 yang bermaksud:-

“Dan Allah mewajibkan manusia mengerjakan ibadat haji dengan mengunjungi Baitullah iaitu sesiapa yang mampu sampai kepadanya.”

Tambahan lagi, menurut Imam Al-Syarbini, syarat istito’ah adalah mencakupi aspek keupayaan kewangan yang cukup bagi perbelanjaan untuk berangkat ke Mekah, dan pulang ke rumah, kemampuan kewangan dalam memberi nafkah kepada ahli keluarga yang ditinggalkan, serta melunaskan hutang-piutang sebelum pergi berangkat melaksanakan haji.

Oleh yang demikian, dapatlah difahami bahawa kewajipan haji adalah kepada individu yang mempunyai kestabilan kewangan yang baik.

Konsep istito’ah ini adalah penting untuk difahami setiap Muslim. Jika keupayaan kewangan tidak mencukupi untuk menampung kos haji, maka gugurlah kewajipan menunaikan haji.

Walaubagaimanapun, usaha dan tekad untuk menjadi mampu menunaikan haji sepatutnya ditanamkan dalam fikiran dan sanubari hati setiap Muslim. Ini bermakna bahawa sebagai seorang Muslim, mereka tidak boleh mengabaikan tanggungjawab dan hendaklah berusaha bersungguhsungguh dalam memastikan kewangan mencukupi, dan memenuhi syarat istito’ah. Sekaligus dapat mengerjakan haji sebagai rukun Islam kelima.

Dalam konteks Bantuan Kewangan Haji yang saban tahun diberikan oleh TH, mandat TH adalah untuk menjalankan operasi haji dan juga pengurusan dana ataupun pelaburan. Di dalam mandat tersebut, tidak termaktub pemberian Bantuan Kewangan Haji kepada bakal-bakal jemaah haji negara bagi mencukupkan keperluan mereka menunaikan ibadat tersebut.

Secara umumnya, Bantuan Kewangan Haji sebenarnya adalah inisiatif yang diperkenalkan oleh TH dan kerajaan berdasarkan budi bicara, dan ia bukan hak yang diberikan kepada para jemaah. Konsep asalnya adalah tanggungjawab untuk mencukupkan bayaran haji adalah bergantung kepada kemampuan individu itu sendiri.

Ustaz Imran Mohammad Khayat.

Peranan TH Meneruskan Legasi Kejayaan

Kejayaan penubuhan TH sejak 60 tahun yang lalu sebagai Institusi Kewangan Islam pertama di Malaysia, telah memainkan peranan besar dalam mentransformasikan sistem ekonomi umat Islam dengan menyediakan instrumen kewangan, penyertaan Umat Islam kepada ekonomi sebenar, dan pelaburan yang berlandaskan Syariat. Kejayaan ini telah menjadikan TH sebagai model kepada negara-negara Islam yang lain.

Oleh yang demikian, imej TH sebagai sebuah Institusi Kewangan Islam yang terunggul ini perlu dipelihara oleh masyarakat Islam di Malaysia, dan menaikkan imej Malaysia di persada dunia.

Rentetan daripada itu, keruntuhan TH sebagai Institusi Kewangan Islam boleh dianggap sebagai kegagalan yang mewakili sebahagian besar umat Islam di Malaysia, terutama para pendeposit yang setia dengan TH.

Kita boleh mengambil iktibar sebuah institusi kewangan Islam di Turki, iaitu Ihlas Finance House, di mana ianya terpaksa ditutup pada tahun 2001 kerana masalah kecairan dan kemelut kewangan.

Dengan saiz dana TH yang besar hampir mencecah RM90 bilion, umat Islam di Malaysia perlu mengambil iktibar akan kes kegagalan institusi perbankan Islam tersebut.

Dalam konteks TH, maslahah yang paling utama ialah memelihara kelestarian TH itu sendiri. Pada ketika ini, TH telah menanggung lebih 60 peratus daripada jumlah kos sebenar setiap jemaah untuk menunaikan haji, di mana ia boleh menjejaskan kemampuan kewangan TH pada masa hadapan.

Seterusnya, tanggungan bayaran kos sebenar tersebut dilihat boleh menjejaskan keupayaan TH untuk membayar agihan keuntungan yang lebih kompetetif kepada para pendeposit.

Oleh demikian, tiga perkara menjadi perlu menjadi petimbangan pihak kerajaan dan pengurusan TH dari sudut maslahah dan maqasid penjagaan harta. Yang pertama ialah kelestarian TH itu sendiri sebagai sebuah entiti yang menguruskan sejumlah dana yang besar, yang kedua maslahah umum keseluruhan pendeposit berbanding sebilangan kecil bakal jemaah haji yang akan menunaikan haji pada tahun tertentu dan yang ketiga aspek istito’ah yang menjadi syarat wajib haji itu sendiri.

Tindakan melihat kepada aspek maslahah adalah selaras dengan kaedah fiqh iaitu:- ْ
ِل َمِام َعلَى ال َّرا ِعيَّ ِة َح ِة أو ط تَ َصُّر ف ا أ َم أصَل َمن ِالأ ب

• Tindakan dan keputusan pemerintah ke atas rakyat bergantung kepada kemaslahatan umum
• Kestabilan TH sebagai institusi kewangan Islam yang terunggul perlu dipelihara sebaiknya, dan ianya penting demi menjaga imej serta kepentingan umat Islam di negara ini.

-Tamat-