PUTRAJAYA – Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK) akan memperkukuhkan lagi hubungannya dengan pemain-pemain industri komoditi di negara ini.
Menterinya, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, perjumpaan akan diadakan secara lebih kerap bersama para pemain industri bagi memahami isu-isu yang dihadapi mereka.
Menurut beliau, dengan cara itu, kementeriannya dapat menggubal dasar yang boleh membantu perkembangan mereka dengan lebih pantas.
“Kita adalah pemudahcara kepada syarikat-syarikat besar, kecil dan sederhana untuk menjalankan perniagaan.
“Apabila syarikat berjaya, kerajaan akan mendapat keuntungan dari segi tiga perkara iaitu cukai, penciptaan peluang pekerjaan dan ekonomi negara bertambah baik,” katanya.
Ahli Parlimen Titiwangsa itu berkata demikian kepada pemberita selepas merakam waktu masuk pada hari pertamanya sebagai Menteri Perladangan dan Komoditi di lobi bangunan kementerian itu di sini, hari ini.
Turut hadir, timbalannya, Datuk Chan Foong Hin dan Ketua Setiausaha KPK, Datuk Mad Zaidi Mohd Karli.
Johari yang juga Naib Presiden UMNO menyifatkan tugasnya di KPK sebagai agak mencabar lebih-lebih dalam situasi ekonomi ketika ini.
Beliau menambah, KPK bukan kementerian yang menjana pendapatan sebaliknya ia lebih berperanan sebagai pemudah cara untuk para pemain industri komoditi.
“Komoditi merupakan salah satu daripada sumber pendapatan kita khususnya sawit, getah, koko, lada dan kayu-kayan.
“Kementerian ini lebih melibatkan pengusaha dan syarikat-syarikat, sama ada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) atau syarikat besar, ladang-ladang yang besar juga kita berinteraksi dengan mereka,” jelasnya. – MalaysiaGazette