Tentera pejuang Hamas. Gambar hiasan

GAZA CITY – Kematian 10 anggota Pasukan Pertahanan Israel (IDF) dalam tempoh satu malam membuktikan Briged al-Qassam menunaikan janji untuk menjadikan Gaza sebagai tanah perkuburan bagi tentera penceroboh.

Hamas dalam kenyataan memberi amaran, lebih banyak kematian menunggu tentera Zionis sekiranya mereka terus menjajah Gaza.

Katanya, peningkatan jumlah kematian pihak musuh di pelbagai kawasan pertempuran menggambarkan sejauh mana kehilangan dan kegagalan pimpinan penjajah dan tenteranya menentang kekuatan pejuang Palestin.

“Kami menyatakan kepada pihak musuh bahawa kepimpinan kalian yang gagal, tidak menghiraukan nyawa tentera yang terbunuh dan puluhan yang cedera setiap hari. Oleh itu, kalian tidak mempunyai pilihan selain berundur dari Gaza.

“Semakin lama kalian berada di sana, semakin besar bilangan kematian dan kerugian yang kalian akan tanggung. Kalian akan keluar darinya dengan penuh kekecewaan dan kerugian, dengan izin Allah,” katanya.

Amaran tersebut dikeluarkan oleh Hamas melalui laman sesawang rasminya di internet.

IDF mengumumkan 10 askarnya mati dalam serangan yang dilakukan Hamas yang mana sembilan daripadanya maut dalam serang hendap di Shejaiya, pinggir bandar Gaza.

Salah seorang yang terbunuh adalah komander Batalion ke-13, Briged Golani, Lt. Kol. Tomer Grinberg.

Media Israel, The Juruselam Post mengambarkan pertempuran yang dilalui oleh kumpulan terbabit ‘penuh huru-hara’ kerana Hamas menyerang daripada pelbagai sudut.

Israel mendakwa sehingga kini 115 anggota tenteranya telah maut sejak operasi darat dilakukan di Gaza akhir Oktober lalu.

Anak menteri dalam Kabinet Perang Israel, Gadi Eiznkot antara yang dilaporkan maut dalam serangan pejuang Palestin Hamas di Gaza minggu lalu.

Gal Meir Eiznkot, 25, merupakan askar simpanan dalam Pasukan Pertahanan Israel (IDF) dari Batalion 699 Briged ke-551.

Gal Eisenkot terbunuh selepas bom meletup dalam aci terowong di kem pelarian rakyat Palestin di Jabaliya, Gaza.

Dia dibawa dalam keadaan teruk ke hospital di Israel, di mana dia meninggal dunia akibat kecederaannya. Dia dijadualkan dikebumikan pada hari Jumaat di Herzliya. – Agensi