PETALING JAYA – Lebih tiga jam unit forensik Polis Diraja Malaysia (PDRM) melakukan siasatan kes pembunuhan Allahyarham Zayn Rayyan Abdul Matiin di aliran air berdekatan Apartmen Damai, Damansara Damai, di sini, sejak jam 9.30 pagi tadi.

Tinjauan MalaysiaGazette hari ini mendapati siasatan hari ini diteruskan bersama anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dengan kerja-kerja mengeringkan aliran air di mana mayat Zayn Rayyan ditemui, Rabu lepas.

Terdahulu dua kenderaan unit forensik PDRM kelihatan berada di Blok R, Apartmen Idaman kira-kira sejak jam 9.30 pagi tadi.

Sepanjang kerja-kerja lokasi penemuan Zayn Rayyan dilakukan, petugas media tidak dibenarkan berada berdekatan untuk membuat liputan.

Petugas media hanya dibenarkan berada kira-kira 500 meter dari tempat kejadian bagi mengelakkan rakaman gambar dan visual dibuat ketika siasatan dijalankan pihak berkuasa.

Sebelum ini, mayat Zayn Rayyan ditemukan di aliran air berhampiran kawasan kediamannya kira-kira jam 10 malam pada Rabu oleh kumpulan penduduk yang menjalankan operasi mencari bersama pihak polis.

Mangsa ditemukan terbaring di tepi aliran air terletak kira-kira 200 meter dari blok kediaman Zayn Rayyan di di Blok R Apartmen Idaman.

Kes kematian kanak-kanak itu diklasifikasikan semula sebagai bunuh selepas bedah siasat menemui kesan kecederaan pada leher dan badan mangsa. – MalaysiaGazette