Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Wan Mohd Zahari Wan Busu (dua dari kiri) menyaksikan pelupusan 721 peralatan melombong Bitcoin di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan

KUANTAN – Polis melupuskan sebanyak 721 peralatan elektronik berkaitan aktiviti melombong bitcoin di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan, di sini, hari ini.

Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Wan Mohd Zahari Wan Busu berkata, kesemua peralatan itu adalah daripada rampasan pihaknya sejak 2021 hingga November lepas.

Beliau berkata, peralatan terdiri daripada 283 mesin pelombongan Bitcoin dan 438 alat pembekal kuasa itu adalah daripada lima kes yang telah selesai di mahkamah dan mendapat arahan untuk pelupusan daripada Timbalan Pendakwa Raya.

“Kes-kes ini selesai dituduh di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan, Seksyen 379 Kanun Keseksaan dan Seksyen 37 Akta Bekalan Elektrik 1990.

“Setiap barang kes yang dimusnahkan ini kita akan serahkan kepada syarikat yang dilantik untuk memusnahkan sisa-sisa elektronik,” katanya.

Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Wan Mohd Zahari Wan Busu

Jelas Wan Mohd Zahari, nilai kesemua peralatan yang dilupuskan pada hari ini dianggarkan berjumlah RM88,000.

Dalam pada itu, beliau memaklumkan pihaknya masih menjalankan siasatan berhubung kes pecah rumah yang berlaku di Medan Tok Sira, di sini, pada Jumaat lalu.

“Setakat ini kita masih menyiasat berpandu kepada rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang ada di premis untuk mengenal pasti kenderaan yang digunakan dan suspek yang terlibat.

“Yang kita tahu terdapat tiga orang suspek yang belum dikenal pasti. Tapi, belum ada tangkapan dilakukan. Dan, bagi tahun ini, satu kes pecah masuk rumah sahaja yang dilaporkan,” tambahnya.

Pada 10 Disember lalu, media melaporkan kejadian pecah masuk rumah di kawasan terbabit membabitkan tiga suspek yang menaiki kenderaan pelbagai guna (MPV) berwarna biru.

Antara barangan dilarikan suspek adalah wang tunai, barangan kemas, jam tangan dan beg berjenama selain dua buah peti besi dari rumah milik seorang ahli perniagaan peralatan elektrik. – MalaysiaGazette