PETALING JAYA – Polis menemui beberapa barang dan objek yang boleh membantu siasatan dalam pemeriksaan rumah ke rumah kali kedua yang dilaksanakan di Blok R, Apartmen Idaman, Damansara Damai di sini, malam semalam.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, bagaimanapun pihaknya perlu melakukan analisa terlebih dahulu terhadap bukti-bukti yang ditemui itu.
“Kita perlu analisa terlebih dahulu semua penemuan-penemuan ini dan masih berusaha mengumpul bukti secukupnya,” katanya ketika dihubungi MalaysiaGazette, hari ini.
Selain itu, beliau menafikan tiada arahan dikeluarkan pihaknya kepada penghuni Apartmen Idaman ketika pemeriksaan dilakukan.
“Jika kita lakukan pemeriksaaan, mereka tiada di rumah atau berada di luar kawasan kita akan tunggu dan panggil mereka untuk ujian DNA beramai-ramai’,” katanya.
Semalam, unit forensik Polis Diraja Malaysia (PDRM) membawa keluar dua kotak selepas dua jam melakukan pemeriksaan di setiap rumah di Blok R, Apartmen Idaman.
Kotak berkenaan dipercayai berisi bahan bukti bagi membantu siasatan kes pembunuhan Allahyarham Zayn Rayyan Abdul Matiin yang ditemui di saliran air dekat kawasan apartmen itu pada 6 Disember lalu.
Lebih 25 anggota daripada Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor melakukan pemeriksaan itu bermula pukul 8.40 malam dan berakhir kira-kira 10.30 malam semalam. – MalaysiaGazette