Dr. Abd Aziz Abdul Rahman berucap ketika Majlis Zakat Korporat PPZ-MAIWP 2023 di Dewan Tun Dr Ismail A, World Trade Centre, Kuala Lumpur. Foto: NUR SYADILA AMARI

KUALA LUMPUR – Pusat Pungutan Zakat – Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPAZ-MAIWP) optimis mencapai sasaran pungutan sebanyak RM1 bilion menjelang hujung tahun ini.

Pengerusinya, Tan Sri Abdul Aziz Abdul Rahman berkata, setakat hari ini sebanyak RM788 juta zakat yang diterima oleh PPZ- MAIWP.

Menurut beliau, seluruh warga kerja PPZ-MAIWP sedang bertungkus lumus untuk menggerakkan pelbagai inisiatif dan usaha pungutan zakat termasuklah menguar-uarkan Kempen Year End Zakat 2023.

“Ada lagi RM212 juta sahaja lagi perlu dikutip dalam tempoh 17 hari lagi. Kalau ada usaha berterusan menyumbang terutama sekali zakat pendapatan, zakat perniagaan, dan usaha pemungutan online.

“Kita gerakkan anggota PPZ-MAIWP pagi petang siang malam sebab masa sudah suntuk pastikan target tercapai,” katanya ketika ditemui di Majlis Zakat Korporat 2023 di Pusat Dagangan Dunia (WTC) hari ini.

Jelas beliau, sehingga kini seramai 37,000 asnaf didaftarkan di bawah PPZ-MAIWP perlu dibantu.

“Tujuan kita nak tingkatkan pungutan zakat sebab ekosistem asnaf dalam negara telah berubah.

“Keperluan-keperluan bukan hanya bekalan makanan sahaja tetapi kesihatan mental asnaf,” jelasnya.

Hari terakhir untuk masyarakat Islam menunaikan zakat pada tahun ini adalah pada 31 Disember 2023. -MalaysiaGazette