Sivakumar berehat
Chong Yew Chuan

KUALA LUMPUR – Pemecahan dua kementerian dalam rombakan Kabinet yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam dikatakan telah mengecewakan rakyat.

Timbalan Ketua Pemuda MCA, Chong Yew Chuan berkata, langkah itu bercangkah dengan janji Anwar ketika mula berkuasa dahulu bahawa tidak akan ada saiz Kabinet yang terlalu besar.

“Kita berharap rombakan kali ini bebas daripada pertimbangan model lama politik kepartian, sebaliknya benar-benar mencapai matlamatnya untuk memilih mereka yang berkaliber dan kompeten untuk mentadbir negara,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Kementerian Komunikasi dan Digital telah dipecah kepada Kementerian Komunikasi dan Kementerian Digital manakala Kementerian Sumber Asli, Tenaga dan Perubahan Iklim dipecah kepada Kementerian Peralihan Tenaga dan Daya Guna Awam serta Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam.

Jumlah anggota Kabinet juga meningkat kepada 60 orang, berbanding 55 orang sebelum ini.

Yew Chuan juga berharap menteri dan timbalan menteri yang menunjukkan prestasi kurang memuaskan sebelum ini menggunakan peluang kedua sebaik-baiknya setelah dikekalkan dalam barisan Kabinet baharu.

Menurut beliau, mereka perlu meningkatkan prestasi dan keupayaan tadbir urus diri mereka serta melipatgandakan kecekapan pelaksanaan dasar kementerian masing-masing.

“Kalau tidak disertakan dengan peningkatan prestasi dan kecekapan, potongan gaji menteri hanyalah cakap-cakap manis semata-mata dan tidak menepati harapan rakyat yang mahukan sebuah kerajaan yang berkecekapan tinggi,” jelasnya. – MalaysiaGazette