KUALA LUMPUR – Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mendakwa, rejim Zionis Israel mempelajari banyak perkara daripada Nazi ketika melakukan pembunuhan beramai-ramai terhadap rakyat Palestin.
Menurut beliau, bagi Nazi, penyelesaian terakhir bagi mereka adalah dengan memastikan kaum Yahudi tidak lagi wujud di dunia ini.
Dr Mahathir berkata, penyelesaian terakhir bagi rejim Zionis Israel pula adalah dengan membunuh semua rakyat Palestin.
“Ia bukan setakat Hamas sahaja. Satu-satunya cara bagi menamatkan perang bagi mereka adalah dengan membunuh seluruh rakyat Palestin melalui pembunuhan beramai-ramai,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Beliau menambah, atas sebab itu, rejim Zionis Israel terus membunuh rakyat Palestin di Tebing Barat dan Lubnan walaupun Hamas tiada di situ.
Dr Mahathir memberitahu, Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu tentu tahu bahawa menewaskan Hamas sahaja bukan penyelesaian terakhir.
“Rakyat Palestin akan terus melahir pejuang-pejuang seperti Hamas untuk menentang Israel.
“Dan peperangan akan berpanjangan. Israel tidak akan beroleh keamanan,” jelasnya. – MalaysiaGazette