KUALA LUMPUR – Pemain import Kuala Lumpur (KL) City, Romel Morales bakal menjadi pemain naturalisasi terbaru buat Malaysia yang membolehkan pemain kelahiran Colombia itu menyarung jersi Harimau Malaya, tahun depan.
Morales akan melengkapkan tempoh lima tahun beraksi di Liga Malaysia (Liga M) musim ini selepas menyertai PKNS pada 2018 sebelum berhijrah ke pasukan Melaka United (2020).
Penyerang berusia 26 tahun itu menyertai KL City sejak 2021 dengan dia berjaya membantu kelab itu muncul juara Piala Malaysia 2021 selain naib juara Piala AFC (2022) dan naib juara Piala FA (2023).
Semalam, tersebar komen pemilik Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT), Tunku Ismail Sultan Ibrahim di salah satu laman Instagram mendakwa Morales bakal beraksi bersama Harimau Malaya.
Malah, Morales kini turut dikaitkan dengan spekulasi bahawa dia bakal menyertai juara Liga Super 10 kali berturut-turut, JDT.
Sekiranya Morales berjaya mendapat status naturalisasi, dia akan menjadi pemain kelapan yang meraih status itu selepas Mohamadou Sumareh, Liridon Krasniqi, Guilherme de Paula, Lee Tuck, Sergio Aguero, Endrick Dos Santos dan Paulo Josue. – MalaysiaGazette