KUANTAN – Seramai 800 orang pemandu bot pelancong, malim gunung dan pemandu pelancong di Pahang menerima Bantuan Prihatin Pahang (BPP) sebanyak RM200 seorang.
Exco Perpaduan, Pelancongan dan Kebudayaan Pahang, Leong Yu Man berkata, daripada jumlah itu, 91 pengusaha pemandu bot pelancong, malim gunung serta pemandu pelancong di daerah Kuantan menerima bantuan tersebut pada hari ini membabitkan peruntukan sebanyak RM18,200.
“Secara keseluruhan Kerajaan Negeri Pahang memperuntukkan sebanyak RM160,000 menerusi program Bantuan Prihatin Pahang Kluster Pemandu Bot Pelancong dan Malim Gunung secara tahunan.
“Ia bertujuan membantu rakyat menerusi pelbagai bentuk inisiatif melibatkan empat kluster utama iaitu Kluster Pelajar dan Anak Muda, Kluster Golongan B40, Kluster Masyarakat Umum (termasuk pelancongan) dan Kluster Pemberian Aprisiasi dengan peruntukkan bernilai RM 42.4 juta,” katanya.
Yu Man berkata demikian pada sidang akhbar selepas majlis penyerahan Bantuan Prihatin Pahang (BPP) Kluster Pemandu Bot pelancong dan Malim Gunung 2023 daerah Kuantan di pejabat Tourism Pahang hari ini.
Jelas ADUN Triang itu, sumbangan tersebut dapat membantu meringankan beban kepada golongan terbabit dan secara tidak langsung memberi suntikan motivasi kepada mereka dalam bidang yang diceburi.
Tambahnya, seramai 159 orang menerima BPP di Rompin pada hari ini manakala 439 lagi di Jerantut pada minggu hadapan, yang mana ia merupakan penerima paling teramai. – MalaysiaGazette