Foto Instagram Zesh Rahman.

KUALA LUMPUR – Bekas import Sri Pahang, Zesh Rahman membuktikan kesibukan sebagai jurulatih dan usia lanjut tidak menghalangnya memiliki segulung ijazah sarjana muda.

Menerusi media sosial peribadi di laman X, pembantu jurulatih kelab Inggeris, Portsmouth FC berkenaan berkongsi video detik gembira menerima segulung ijazah itu pada majlis graduasi University of Liverpool di Liverpool, United Kingdom semalam.

Lebih mengagumkan, Rahman yang sudah menjangkau usia 40 tahun itu juga cemerlang dengan menamatkan pengajian dengan Kepujian Kelas Pertama dalam kos Pengurusan Bola Sepak.

“Gembira kerana telah menamatkan pengajian dengan Kepujian Kelas Pertama dalam Pengurusan Bola Sepak dari Universiti Liverpool. Sentiasa menambaik baik dan pembelajaran akan berterusan dan tidak pernah berhenti. Terima kasih atas sokongan semua,” tulisnya.

Kenaikan pangkat ke skuad utama Portsmouth adalah setahun selepas bek tengah itu berhasil memberi impak positif ketika memegang jawatan sebagai ketua jurulatih akademi kelab berkenaan pada Jun 2022.

Memori ketika Rahman (kiri) membantu Pahang menjulang trofi Piala FA pada musim 2014. Foto Instagram Zesh Rahman.

Untuk rekod, sebelum Rahman menjadi staf kejurulatihan kelab divisyen ketiga England tersebut, bekas pemain Fulham itu pernah menjadi jurulatih ketika beraksi sebagai pemain Southern iaitu pasukan yang bersaing di Hong Kong Premier League pada musim 2020.

Rahman pernah meraih beberapa pencapaian sebagai pengendali Southern dan antaranya yang diingati apabila membantu kelab itu di kedudukan teratas liga sebelum ia akhirnya dibatalkan akibat penularan wabak Covid-19.

Nama Rahman pasti masih segar dalam ingatan penyokong Tok Gajah kerana dia merupakan antara import yang membantu Pahang menjulang beberapa kejuaraan antaranya Piala Malaysia, Piala FA dan Piala Sultan Haji Ahmad Shah sepanjang tiga musim bersama kelab Pantai Timur itu. – MalaysiaGazette