Keadaan sesak di kaunter BSI. Foto: Unit Komunikasi dan Korporat Pejabat Imigresen BSI

JOHOR BAHRU – Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ), Bangunan Sultan Iskandar (BSI) akan menutup beberapa kaunter zon bas dan laluan automatik (sistem e-gate) bermula esok selama sebulan untuk kerja-kerja menaik taraf.

Unit Komunikasi dan Korporat Pejabat Imigresen CIQ memaklumkan, penutupan tersebut melibatkan tiga fasa di laluan keluar dan masuk kaunter bas terbabit dan proses itu dijadualkan selesai pada 15 Januari ini.

Jelas unit berkenaan, kaunter Kad Ketibaan Digital Malaysia (MDAC) akan turut terjejas sepanjang tempoh berkenaan.

“Fasa pertama melibatkan kerja-kerja menaik taraf di laluan zon bas keluar dengan melibatkan kaunter manual 1 sehingga 4, laluan e-gate 1 sehingga 3 dan kaunter MDAC bermula esok.

“Fasa kedua melibatkan kaunter manual (11-18); laluan e-gate (1-6) pada 21 Disember manakala fasa ketiga melibatkan kaunter manual sahaja (3-12) pada 28 Disember,” menurut unit berkenaan menerusi Facebook hari ini.

Unit tersebut memberitahu, bagi fasa pertama di laluan zon bas masuk pula melibatkan kaunter manual (1-4), laluan e-gate (1-3) dan kaunter MDAC bermula pada 28 Disember ini.

Fasa kedua di laluan zon bas masuk itu pula melibatkan kaunter manual (11-18) dan laluan e-gate (1-6) bermula 3 Januari ini sementara fasa ketiga hanya melibatkan kaunter manual (3-12) bermula 9 Januari 2024.

Pihaknya turut memaklumkan permohonan kemudahan Sistem Kawalan Sempadan Automatik (M-Bike) kali pertama diberhentikan buat sementara waktu atas sebab tertentu dan pembukaan semula akan dimaklumkan kemudian.

Sistem e-gate di BSI dan Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB), Iskandar Puteri digunakan warga asing khususnya Singapura bermula 20 Januari lalu.

Kebenaran penggunaan sistem e-gate itu memberi manfaat kepada 50,000 warga republik itu yang berulang alik ke Johor untuk tujuan sosial.

Sementara M-Bike pula yang dilancarkan di BSI dan KSAB bagi memudahkan secara purata lebih 60,000 penunggang dan pembonceng motosikal rakyat Malaysia berulang-alik ke Singapura atas urusan kerja – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast