KUALA LUMPUR – Penyerang Johor Darul Ta’zim (JDT), Ahmad Hazwan Bakri memberi bayangan meninggalkan pasukan tersebut selepas enam tahun berbakti bersama Harimau Selatan itu.
Meneuris di Instagram Story miliknya, dia mengucapkan terima kasih kepada JDT dan juga telah memuat naik foto-foto ketika menyarung jersi Harimau Selatan itu.
Musim ini disifatkan bukan terbaik buat Hazwan apabila dia tidak merasai aksi bersama skuad utama kendalian Esteban Solari dalam kesemua pertandingan domestik dan juga pentas Liga Juara-Juara AFC.
Aksi Hazwan hanya kelihatan bersama JDT II dalam saingan Piala MFL di mana dia diturunkan dalam lima perlawanan dan berjaya meledak dua jaringan.
Berbeza dengan musim 2022 yang menyaksikan khidmat Hazwan masih digunakan bersama skuad utama JDT di mana dia telah diturunkan dalam tujuh perlawanan dan berjaya menjaringkan dua gol.
Hala tuju Hazwan pada musim depan kini menjadi persoalan buat pemain berusia 32 tahun itu apabila beberapa pasukan dikatakan berminat untuk membawa masuk bekas penyerang Harimau Malaya itu bagi saingan 2024 termasuk negeri kelahirannya, Sabah FC. – MalaysiaGazette