Chan Szee

KLUANG – Hujan tidak menghalang penduduk Kluang dan Batu Pahat bertemu Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar pada majlis Jamuan Teh Bersama Rakyat di Dataran Tasek Kluang, hari ini.

Sultan Ibrahim yang tiba lebih awal pada majlis itu pada jam 2.45 petang disajikan dengan persembahan kebudayaan.

Chan Szee, 39, yang teruja dapat melihat Sultan Ibrahim dari dekat berharap Johor akan terus maju.

“Saya memang gembiralah memandangkan Tuanku kita (Sultan Ibrahim) akan menjadi Agong tidak lama lagi.

“Anak lelaki saya juga teruja untuk melihat Tuanku secara dekat hari ini, saya pasti gembira walaupun hujan lebat di sini. Sebagai rakyat saya mengharapkan Tuanku dapat menjadikan negara dan negeri Johor terus maju dan aman,” katanya.

Kau Guang Qian, 11 berkata, beliau teruja untuk mengabadikan potret bersama Sultan Johor jika berkesempatan dan ia momen yang tidak akan dilupakan.

Kau Guang Qian

“Sangat gembira dan tidak sabar untuk bergambar dan bersalaman dengan Sultan Johor.

“Sebelum ini saya hanya melihat Baginda di Televisyen dan media sosial sahaja tetapi hari ini jika boleh saya mahu salam Sultan Johor,” katanya.

Vali Narayanan

Bagi Amurtha Vali Narayanan, 50, walaupun ia bukan pertama kali melihat Sultan Ibrahim namun wanita ini tetap teruja untuk menghadiri majlis tersebut.

Katanya, perwatakan Sultan Ibrahim yang mesra dengan rakyat menjadikan beliau tidak ‘kekok’ sebagai rakyat biasa apabila bertemu baginda.

“Saya sebagai orang biasa pun rasa selesa apabila bertemu baginda.

“Lebih gembira Sultan Johor mahu menjadi Agong dan sudah pasti saya mahukan Johor dan negara kita terus aman,” ujarnya.

Mustafa

Pengerusi Surau Ashafir, Taman Tiara Perdana, Simpang Renggam Mustafa Kamal Sapran, 47, menyifatkan jamuan hari ini merupakan kenangan paling manis bagi dirinya.

“Saya tidak akan lupakan kerana bagi saya iniah program-program Tuanku yang kali terakhir saya hadiri sebelum sultan kita menjadi Agong.

“Syukur Alhamdulilallah semoga Sultan Ibrahim terus dikurniakan kesihatan untuk memimpin negara tercinta ini,” katanya.

Jamuan Teh Bersama Rakyat hari ini merupakan majlis yang keempat selepas diadakan di Muar, Mersing dan Pontian. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast