TEL AVIV – Israel akan terus menyerang Gaza walaupun tidak mendapat persetujuan daripada masyarakat antarabangsa.
Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu berkata; ‘Tiada apa yang akan dapat menghalang operasi tentera zionis di wilayah Palestin tersebut”.
Netanyahu membuat kenyataan berkenaan semasa melakukan lawatan di sebuah penjara di selatan Israel yang menempatkan tahanan lelaki Palestin yang ditangkap di Semenanjung Gaza.
Penjara itu digunakan oleh unit perisikan Angkatan Pertahanan Israel (IDF) 504 untuk melakukan soal siasat ke atas kumpulan lelaki yang ditangkap oleh tentera zionis.
Netanyahu memberitahu, unit tentera itu bahawa “kami meneruskan sehingga akhir sehingga kemenangan, sehingga penghapusan Hamas walaupun dalam menghadapi tekanan antarabangsa.
“Tiada apa yang akan menghalang kami, jangan ada keraguan mengenai perkara ini,” kata pemimpin berkenaan.
Netanyahu juga menyatakan penghargaan atas kerja tentera di Gaza sambil menambah bahawa “semalam kami mengalami hari yang sangat sukar,” apabila 10 tenteranya terbunuh di Gaza.
Sembilan daripada mereka maut dalam serangan hendap Hamas di utara Semenanjung.
Turut senada dengan Netanyahu adalah Menteri Luar israel, Eli Cohen yang berikrar untuk terus menyerang dan mengebom Gaza.
Kenyataan kedua-dua mereka dikeluarkan beberapa jam Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menerima pakai draf resolusi menuntut gencatan senjata kemanusiaan segera di Gaza.
Resolusi tidak mengikat itu dibentangkan oleh Mesir dengan 153 undi menyokong pada Perhimpunan Agung 193 anggota yang berhimpun bagi sesi khas tergempar mengenai Palestin.
1Sebanyak 10 negara termasuk Amerika Syarikat (AS), Israel dan Austria mengundi menentang resolusi itu manakala 23 negara termasuk United Kingdom (UK), Jerman, Itali dan Ukraine berkecuali.
Di samping menuntut gencatan senjata, resolusi itu menyuarakan kebimbangan terhadap ‘situasi kemanusiaan’ di Semenanjung Gaza dan penderitaan orang awam di Palestin. – Agensi