GEORGE TOWN – Masalah komunikasi antara pengawal keselamatan menjadi punca lelaki berseluar pendek tidak dibenarkan masuk untuk melawat ahli keluarganya di Hospital Seberang Jaya (HSJ) pada Isnin lalu.

Exco Belia, Sukan dan Kesihatan, Daniel Gooi Zi Sen yang mengesahkan kejadian itu turut meluahkan rasa kesal dengan insiden tersebut.

Beliau juga berharap insiden sama tidak berulang pada masa akan datang.

“HSJ telah menjalankan siasatan dan mendapati apa yang berlaku berpunca daripada masalah komunikasi antara anggota keselamatan dan lelaki warga emas itu.

“Dalam masa jangan biarkan isu sebegini mencemarkan nama baik sistem penjagaan kesihatan kita kerana semua kakitangan perubatan kita bekerja keras untuk memastikan rakyat Pulau Pinang mendapat rawatan yang berkualiti,” katanya dalam kenyataan menerusi WhatsApp hari ini.

Terdahulu, sebuah portal melaporkan seorang lelaki dilarang melawat abang iparnya di sebuah hospital kerajaan selain diberikan ceramah mengenai Rukun Negara kerana memasuki premis kerajaan dalam keadaan berseluar pendek.

Susulan itu, Lim Thean Heng, 72, membangkitkan perkara tersebut di kaunter aduan hospital sebelum seorang pegawai memaklumkan akan menggunakan budi bicaranya untuk membenarkan dia masuk namun hanya kali ini saja.

Sementara itu, Pengarah HSJ, Dr. Saiful Azlan Sharif dalam satu kenyataan berkata, pihak pengurusan hospital ambil maklum isu yang dibangkitkan dan telah memanjangkan perkara ini kepada pihak Pengurusan Tertinggi Hospital.

Jelas beliau, kod etika pemakaian pelawat ketika berurusan di jabatan kerajaan telah lama dipraktikkan oleh pelbagai agensi kerajaan termasuklah di fasiliti HSJ.

“Penetapan etika berpakaian ini dibuat bagi menjamin keharmonian dan kesejahteraan bersama selaras dengan Prinsip Rukun Negara yang kelima iaitu kesopanan dan kesusilaan.

“Penetapan etika berpakaian ini juga turut dipraktikkan di jabatan kerajaan di Jepun, United Kingdom, Australia serta negara-negara ASEAN seperti Filipina dan Thailand. Perkara ini juga telah dijelaskan oleh mantan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA), Datuk Seri Mohd Syafiq Abdullah semasa menjawab kepada wartawan dalam akhbar Berita Harian pada 24 Mei 2022.

“Walau bagaimanapun, pihak kami memandang serius isu masalah komunikasi antara pengawal keselamatan dengan pengadu berkenaan,” katanya hari ini.

Tambah beliau, pihak hospital bersama pihak syarikat keselamatan juga telah mengambil tindakan untuk memperkukuhkan lagi latihan dan pengetahuan kepada semua pengawal keselamatan di hospital agar lebih beretika ketika berkomunikasi serta bersikap profesional semasa menjalankan tugas agar maklumat yang disampaikan kepada para pelawat dapat difahami dengan jelas. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast