KUANTAN – Pahang menjadi negeri pertama menawarkan skim perlindungan insurans berkelompok kepada 800 pemain industri pelancongan tahun ini.
Exco Perpaduan, Pelancongan dan Kebudayaan Pahang Leong Yu Man berkata, mereka yang terbabit dalam industri bot pelancong, pemandu pelancong dan malim gunung bakal menerima manfaat bagi melindungi mereka sekiranya berlaku kemalangan ketika bertugas.
”Peruntukan tersebut membabitkan sejumlah RM300,000 menerusi skim perlindungan insurans kemalangan itu bagi tempoh tiga tahun bermula November lalu.
“Perlindungan ini membabitkan kematian dan hilang upaya kekal akibat kemalangan berjumlah RM100,000 serta pembayaran balik pencarian dan pemindahan (RM10,000),” katanya.
ADUN Triang itu berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Penyerahan Bantuan Prihatin Pahang (BPP) Kluster Pemandu Bot pelancong dan Malim Gunung 2023 daerah Kuantan di Pejabat Tourism Pahang hari ini.
Selain itu, perbelanjaan perubatan akibat kemalangan (RM2,500), manfaat elaun hospital akibat kemalangan maksima 30 hari (RM50 sehari), pampasan kaunseling trauma maksima 10 sesi (RM100 setiap sesi) dan perbelanjaan penghantaran pulang (RM5,000) juga disediakan. – MalaysiaGazette