KUALA LUMPUR – Operasi perkhidmatan tren Keretapi Tanah Melayu (KTM), komuter dan Perkhidmatan Tren Elektrik (ETS) kembali beroperasi seperti biasa bermula 5.05 pagi tadi.
Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) dalam satu kenyataan berkata, perkhidmatan tren tersebut terjejas sejak kelmarin ekoran insiden sebuah kren pembinaan tumbang sehingga menyebabkan alat talian terputus.
Menurutnya, sebuah kren binaan yang digunakan untuk projek parkir bertingkat tumbang di atas landasan kereta api di Kilometer M355.749 antara Rawang dan Kuang pukul 5.35 petang.
Tambah KTMB, insiden tersebut menyebabkan ETS dan KTM Komuter Lembah Klang laluan KL Sentral – Tanjung Malim – KL Sentral mengalami gangguan perkhidmatan dan kelewatan daripada jadual asal melebihi dua jam.
“Semua perkhidmatan tren KTM Komuter dan ETS yang terjejas telah kembali pulih. Tren komuter pertama No 2301 pukul 5.05 pagi telah bertolak dari Stesen Tanjung Malim ke Stesen KL Sentral.
“KTMB memohon maaf sekali lagi di atas kejadian yang berlaku. Kami mengucapkan terima kasih atas kerjasama para penumpang yang terkesan dan menghargai perhatian serta pemahaman anda,” katanya.
Untuk maklumat lanjut, sila hubungi Pusat Panggilan KTM Berhad di 03 2267 1200 atau mendapatkan maklum balas segera melalui Messenger Facebook rasmi KTMB. – MalaysiaGazette