Tertuduh mengaku bersalah atas dua pertuduhan amang seksual terhadap adik angkatnya berusia 13 tahun September lalu.

MELAKA – Seorang remaja berdepan hukuman penjara 30 tahun selepas mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen Ayer Keroh di sini hari ini atas dua pertuduhan amang seksual terhadap adik angkatnya berusia 13 tahun September lalu.

Tertuduh, berusia 18 tahun membuat pengakuan itu sebaik pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Mohd Sabri Ismail.

Mahkamah bagaimanapun menetapkan 16 Januari depan untuk pendengaran laporan akhlak bagi pekerja kedai makan itu sebelum hukuman dijatuhkan.

Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh telah melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang kanak-kanak perempuan berusia 13 tahun.

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan boleh juga dihukum dengan sebat mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.

Manakala bagi pertuduhan kedua, tertuduh telah menunjukkan kemaluannya kepada mangsa sama sambil melakukan onani.

Jika sabit kesalahan, boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 10 tahun atau denda tidak lebih RM20,000 atau kedua-duanya sekali mengikut Seksyen 15(c) akta sama.

Kedua-dua perbuatan itu dilakukan pada pertengahan September, kira-kira pukul 10 pagi di sebuah rumah di Pokok Mangga dalam daerah Melaka Tengah.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Nazrin Ali Rahim sementara tertuduh tidak diwakili peguam.

Terdahulu, pihak pendakwaan memohon mahkamah untuk tidak membenarkan ikat jamin terhadap tertuduh sementara menunggu laporan sosial daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Hakim kemudian membenarkan permohonan pendakwaan dan menetapkan 16 Januari tahun depan untuk penyerahan laporan sosial JKM sebelum menjatuhkan hukuman terhadap tertuduh. – MalaysiaGazette